Tuesday 14 August 2012

Tender terbuka Langat 2 - NOH OMAR


Projek loji air sedia dibida elak dituduh bantu kroni

Putrajaya: Proses pengeluaran tender terbuka pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 sedang dilaksanakan walaupun kerajaan Selangor belum meluluskan pembinaannya. Kerajaan Persekutuan berpendapat penangguhan pembinaan loji dan sistem agihan air yang sepatutnya bermula pada 2010 akan menjejaskan kapasiti air terawat menjelang 2014.

“Kita tidak boleh terus digantung tak bertali kerana projek ini kritikal, sekali gus menjamin penduduk Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor tidak mengalami krisis air. - Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata permohonan dikemukakan pada 2010, tetapi kerajaan Selangor menerusi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) hanya memberi jawapan keputusan permohonan ditangguhkan.

Keputusan ditangguh

“Tangguh sampai bila kita tak tahu. Justeru, kita buat permohonan baru kepada MPKj dan pada masa sama, keluarkan tender terbuka kerana projek ini tidak boleh dilengahkan lagi.

“Kita tidak boleh terus digantung tak bertali kerana projek ini kritikal, sekali gus menjamin penduduk Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor tidak mengalami krisis air.
“Dulu, pakatan pembangkang tuduh Barisan Nasional (BN) nak tolong kroni dengan menawarkan projek ini secara rundingan terus. Jadi, kita buat tender terbuka,” katanya semalam.

Bagaimanapun, Noh berkata kerajaan Selangor tidak mahu membida tender itu tetapi tidak menolak kemungkinan mana-mana syarikat yang mendapat projek itu akan dituduh sebagai kroni BN.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-Isu Air Selangor pada 2 Ogos lalu memutuskan projek Loji Rawatan Air Langat 2 diteruskan walaupun tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Noh juga mendesak kerajaan Selangor berfikir sebagai kerajaan yang mengutamakan keperluan rakyat dan jangan terus berfikiran sebagai pembangkang sehingga mengabaikan masa depan penduduk.

RM600 juta diperuntukkan

Beliau memaklumkan, Kerajaan Pusat memperuntukkan lebih RM600 juta bagi melaksanakan pelbagai pelan mitigasi untuk mengelakkan krisis bekalan air, termasuk membina Empangan Sungai Labu serta loji rawatan air dengan kos RM278 juta.

Selain itu, kerajaan membelanjakan lebih RM100 juta bagi memperbaiki paip air pecah berikutan keengganan kerajaan Selangor menggantikan paip yang kebanyakannya usang.

Kerajaan Pusat biaya

“Pembinaan Empangan Sungai Labu dibiayai Kerajaan Pusat sepenuhnya, termasuk pembelian tanah Sime Darby dan sudah diserah untuk dikendalikan kerajaan negeri Selangor. Saya difahamkan penyerahan dilakukan tanpa sebarang perjanjian.

“Saya juga berharap, Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) jangan memutar belitkan isu penstrukturan semula pengagihan air dan hasratnya untuk mengambil alih SYABAS dengan pembinaan loji rawatan air sehingga orang ramai keliru.

“Apa gunanya mengambil alih SYABAS jika tiada loji bagi merawat dan membekalkan air. Tuduhan kononnya tarif air akan naik jika Loji Rawatan Air Langat 2 dibina perlu dirundingkan terlebih dulu,” katanya.

No comments:

Post a Comment