Sunday 26 August 2012

Isu Talam: DAP gagal desak Khalid beri penjelasan

Tindakan beberapa pemimpin DAP Selangor mempertahankan dan cuba menutup skandal penyelewengan hutang Talam Corporation Berhad (Talam) yang berjumlah hampir RM1 bilion membuktikan parti itu tidak mengamalkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat yang bertindak keluar parti pada 17 Ogos lalu berkata, pemimpin DAP Selangor sepatutnya mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi penjelasan kepada rakyat berhubung skandal itu dan bukan mempertahankan tindakannya.

Beliau yang hilang kepercayaan terhadap sikap dwistandard DAP menambah, sokongan beberapa pemimpin parti itu kepada kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor memberi gambaran seolah-olah DAP bersekongkol dalam menyembunyikan perkara sebenar di sebalik skandal tersebut.

"Di mana prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan yang dilaungkan DAP jika dalam skandal penyelewengan hutang Talam sendiri mereka boleh menyokong Abdul Khalid? Kenapa mengamalkan sikap dwistandard? Sepatutnya DAP mendesak Abdul Khalid kerana ini melibatkan wang rakyat.

"Saya pelik dengan sikap DAP Selangor dalam isu ini. Bagaimana sebuah parti yang mendakwa mereka menentang amalan rasuah dan salah guna kuasa tidak berani mendesak Abdul Khalid sedangkan skandal ini berjumlah hampir RM1 bilion dan diperkatakan rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 17 Ogos lalu Tuan Tat menuntut penjelasan mengapa pemimpin DAP Selangor mempertahan tindakan kerajaan negeri dalam isu skandal Talam termasuk pengambilalihan penuh kontroversi beberapa aset milik syarikat tersebut dan serentak dengan itu, beliau mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Dalam pada itu, beliau menafikan tuduhan Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Disiplin DAP, Tan Kok Wai yang mendakwa Tuan Tat dipecat daripada parti kerana mengambil serta menyalahgunakan kad pengenalan 149 ahli parti dan bukannya bertindak keluar DAP.

Katanya, beliau tidak ada kaitan dengan dakwaan itu dan menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai cubaan pucuk pimpinan DAP menutup mulut pemimpin akar umbi daripada bersuara.

"Saya tiada kaitan dengan dakwaan tersebut dan bagaimana DAP boleh memecat keahlian saya sedangkan saya sendiri yang menyerahkan surat peletakan jawatan dan keluar parti?

"Saya keluar parti pada pukul 12 tengah hari dan surat kemudian difaks ke ibu pejabat pada pukul 2.45 petang," katanya.

No comments:

Post a Comment