Sunday, 26 August 2012
'Usah gadai kemakmuran' Tidak semua perubahan membawa kebaikan: Najib
Pekan: Rakyat disaran tidak menggadai kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati sekarang dengan melakukan ‘perubahan’ menukar kerajaan yang belum pasti membawa kebaikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat berhati-hati kerana bukan semua perubahan memberi kejayaan lebih besar dan memberi manfaat, terutama kepada generasi muda bagi tempoh jangka panjang.
“Kita tidak boleh letak kepercayaan kepada pihak yang cuba tonjolkan diri sebagai alternatif yang lebih baik daripada kita kerana sudah 55 tahun kita menerajui negara dan membawa banyak perubahan demi kebaikan rakyat,” - Datuk Seri Najib Razak
Beliau berkata, rakyat sepatutnya terus bergantung harap kepada kerajaan yang boleh membawa lebih banyak kemakmuran dan menambah baik pembangunan serta memacu lebih banyak kemajuan demi kebajikan mereka.
“Rakyat perlu berpegang kepada sesuatu yang sudah terbukti berjaya. Ada perubahan bukan membawa kebaikan dan lebih membimbangkan ia membawa sesuatu yang tidak dijangka serta lebih buruk daripada apa yang kita jangka.
“Insya-Allah kita akan membawa perubahan dengan menambah baik kesinambungan yang dilakukan pemimpin terdahulu,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di sini semalam.
Waspada janji pembangkang
Najib juga berkata, rakyat jangan mudah termakan hasutan dan janji manis pembangkang yang ternyata gagal membawa kemakmuran seperti dijanjikan di empat negeri yang ditadbir selepas pilihan raya 2008.
Beliau berkata, ia berbeza dengan Barisan Nasional (BN) dan rakyat boleh menilai sendiri pelbagai perubahan sejak pemerintahan Tunku Abdul Rahman hingga sekarang.
“Kita tidak boleh letak kepercayaan kepada pihak yang cuba tonjolkan diri sebagai alternatif yang lebih baik daripada kita kerana sudah 55 tahun kita menerajui negara dan membawa banyak perubahan demi kebaikan rakyat,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan BN akan meneruskan kesinambungan perjuangan pemimpin sebelum ini bagi menambah nilai dan membina perubahan yang lebih baik untuk mencapai Wawasan 2020.
Katanya, kerajaan sedar bahawa jika tidak berbuat demikian ia boleh menyebabkan ekonomi negara merudum seperti yang dihadapi beberapa negara maju, termasuk Sepanyol.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment