Saturday 4 August 2012

Pusat urut: Selangor wajar bertindak?


Kebanjiran pusat urut dan hiburan haram di Selangor wajar dipandang serius semua pihak berwajib terutamanya kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor selaku pentadbir negeri.

Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, selain menghalang pusat urut dan hiburan haram itu beroperasi, pihak yang terlibat dalam salah guna kuasa sehingga menyebabkan aktiviti tersebut berleluasa juga perlu disiasat dan dikenakan tindakan.

Katanya, penyelewengan atau salah guna kuasa itu kemungkinan besar berlaku ekoran tinjauan persatuan tersebut yang melihat banyak pusat-pusat berkenaan beroperasi termasuk di lokasi yang tidak sewajarnya.


Apa yang dibimbangi ialah jika ada pihak atau individu yang menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan lesen operasi sewenang-wenangnya serta melindungi pusat-pusat ini.

Pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri perlu menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya didapati berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kekhuatiran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai lambakan pusat urut dan hiburan di Selangor yang mendesak ia ditangani segera memandangkan kewujudannya dilihat tidak sesuai kerana berhampiran dengan kawasan perumahan dan masjid.


Menurut Saharuddin, sekiranya perkara itu tidak ditangani segera gejala sosial dalam masyarakat dibimbangi menjadi lebih serius terutama di kalangan golongan remaja.

Selain pusat urut, hiburan dan snuker, kafe siber juga wajar dipantau kerana ia menjadi punca pelajar ponteng sekolah dan terjebak dengan aktiviti judi komputer," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna dan Sosial Daerah Petaling, Ismail Aziz berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jabatan agama bagi membanteras kewujudan pusat-pusat hiburan haram tersebut.

DD

No comments:

Post a Comment