Friday 24 August 2012

Isu Rohingya: Kelab Putera tingkat keselamatan misi hantar bantuan


KUALA LUMPUR - Kelab Putera 1Malaysia akan membaiki prosedur keselamatan misi kemanusiaan untuk membantu orang Islam Rohingya di Myanmar bagi mengelakkan tragedi Somalia tahun lalu berulang.

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bagi memastikan ahli rombongan misi berada dalam tahap keselamatan yang optimum, mereka diwajibkan memakai jaket kalis peluru sebaik melepasi sempadan Bangladesh untuk ke kawasan bergolak.

Bagaimanapun katanya, mereka hanya akan melepasi sempadan sekiranya keadaan di sana mengizinkan untuk dimasuki.

“Rombongan misi kali ini tidak akan terus ke tempat bergolak sebaliknya akan berpusat di Bangladesh dahulu dan kami akan mendapatkan laporan mengenai keadaan di sana daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang datang dari Rakhine.

"Kalau keadaan baik barulah kita akan masuk, kalau tidak, kita hanya akan menyalurkan bantuan melalui NGO-NGO berkenaan sahaja," katanya pada sidang media ketika mengumumkan mengenai misi bantuan kemanusiaan terhadap rakyat Rohingya, di sini, hari ini.

Tahun lalu, jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd. Nor, 41, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan Bakti di Mogadishu, Somalia.

“Pengalaman lalu banyak mengajar kami dan kali ini kami akan memantau serta mengkaji ciri-ciri keselamatan yang harus diambil kira bagi memastikan peristiwa pahit di Somalia tidak akan berulang.

“Matlamat kami adalah untuk membantu orang yang sedang dalam kesusahan dan kami tidak mahu ditohmah jika berlaku sesuatu,” jelasnya.

Menyentuh isu sama, Azeez berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk meminta pandang beliau mengenai bilangan wakil media yang akan dibawa bagi mengikuti rombongan misi bantuan ini.

Menurut Azeez, kemungkinan bilangan wakil media akan dihadkan bagi mengelakkan perkara buruk dari terjadi dan juga bagaimana kaedah laporan berita boleh disampaikan kepada rakyat Malaysia.

Ketika ditanya media bila rombongan misi akan bertolak, Azeez berkata, sebaik bekalan yang ingin dibawa sudah mencukupi rombongannya akan segera berangkat ke Bangladesh.

“Jika semuanya sudah siap, kemungkinan minggu depan ataupun selepas hari raya.

“Bantuan ini akan diserahkan ke tiga kem pelarian Rohingya yang berada di bangladesh iaitu di Kutupalong, Nayapara dan Teknas,” katanya.

Mengulas isu sama, Azeez menyasarkan untuk mengumpulkan 100,000 botol air mineral untuk dibawa ke sana bagi memenuhi keperluan air minuman bersih.

Beliau menambah, ketika ini, barang keperluan mendesak yang diperlukan berupa wang dan makanan dan rakyat Malaysia yang ingin menderma boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian bebas tol Kelab Putera 1Malaysia di 1-300-88-1113 atau 03-22736004.

Jelas beliau, talian tersebut akan beroperasi 24 jam termasuk semasa cuti sambutan Aidilfitri ini bagi memudahkan orang ramai menghulurkan bantuan.

“Kami juga menggalakkan orang ramai yang ingin menderma supaya membeli kit makanan yang disediakan oleh pasar raya Mydin supaya barangan yang ingin didermakan berada dalam keadaan standard bagi mudahkan bantuan dibawa.

“Antara barang keperluan yang diperlukan termasuklah air mineral, tuala wanita dan ubat-ubatan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak, wanita dan orang tua,” jelasnya yang menyasarkan bekalan yang akan dibawa mampu menampung keperluan untuk tempoh enam bulan sementara menanti bantuan dari negara lain tiba.


Sementara itu, ujar Azeez, ketika ini seramai 20 orang yang terdiri daripada 10 pegawai perubatan dan 10 sukarelawan sudah mengesahkan kehadiran mereka bagi menyertai rombongan itu.

No comments:

Post a Comment