Saturday 22 June 2013

'PR ada helah besar'

Hasrat Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat penipuan dan pelanggaran peraturan dalam PRU13 dilihat sebagai satu helah besar untuk menggunakan dana awam bagi mengemukakan bantahan keputusan pilihan raya secara keseluruhan.

Ketua Pembangkangnya, Datuk Shamsuddin Lias berkata, keputusan itu tidak wajar dilaksanakan di negeri ini walhal PR telah memenangi dua pertiga kerusi di Selangor pada pilihan raya lalu.

"Perkara itu sepatutnya selesai, pilihan raya sudah berjalan, keputusan pun mereka menang, apa lagi mereka nak?

"Tapi saya nampak ini agenda besar, ketidakpuasan hati di peringkat Parlimen, kerana mereka kalah, kalau dia menang, tak kata pilihan raya ini banyak masalah, tak adalah nak tubuh suruhanjaya seperti ini," katanya kepada Sinar Harian Online selepas menghadiri majlis angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan kerajaan negeri yang mahu menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya di negeri ini pada PRU13 lalu.

Dalam pada itu, Adun Sungai Burong itu menegaskan langkah itu hanya membazirkan wang rakyat, masa dan tenaga yang sepatutnya boleh dimanfaatkan kepada pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.

"Ya, ia tidak wajar ditubuhkan, mereka dah menang banyak di Selangor, dua pertiga majoriti, kita jadi minoriti dan semakin kecil, apa lagi dia nak buat lagi suruhanjaya.

"Kita memang tak setuju membazir masa tenaga wang ringgit, baik tumpu kepada perkara lain," tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dun Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad pula mengulangi pendirian kerajaan negeri yang mahu menubuhkan suruhanjaya itu susulan banyak kepincangan berlaku dalam PRU13.

"Kita tengok tentang dakwat kekal, pengundi hantu, daftar pemilih dan sebagainya, itu perlu diatasi dengan sebaik mungkin.

"Sebab itu kita mahu adakah siasatan untuk memulihkan kewibawaan sistem pilihan raya dalam negara kita," dakwa beliau.

Sementara menurut Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Datuk Teng Chang Kim, penubuhan suruhanjaya siasatan itu wajar dilakukan atas dasar prinsip, bukannya soal kalah atau menang.

"Di Selangor kita menang, tidak bererti menang itu tiada penyelewangannya, niat kerajaan negeri Selangor adalah mengharapkan pilihan raya dijalankan yang adil dan bersih.

"Walaupun kita menang tapi tidak bererti kita terima keputusan itu, walhal ada kekotoran di kawasan tertentu," tegas
nya.