Saturday 11 August 2012

80,000 Penduduk Kundang Dapat Manfaat Susur Keluar Bertol LATAR

Pembinaan susur keluar bertol dari Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) di Km 17.6 ke Jalan Setia, Kundang, dekat sini, dijangka dapat memberi manfaat kepada 80,000 penduduk Kuang dan Kundang.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata pembinaan projek bernilai RM30 juta itu dijadual pada suku pertama tahun depan dan siap pada penghujung 2014.

“Dianggar sebanyak RM2 juta diperuntuk untuk urusan pengambilan tanah dan baki untuk kos pembinaan. Ketika ini kita masih pada peringkat pengambilan tanah,” katanya selepas melawat tapak cadangan pembinaan susur keluar itu, di sini hari ini.

Pembinaan susur itu akan menambah baik akses penduduk di kawasan sekitar yang pada masa ini terpaksa menggunakan jalan jauh, termasuk persimpangan bertingkat Puncak Alam dan Paya Jaras untuk keluar ke pekan, katanya.

Projek itu juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan sosioekonomi kawasan Kundang, Bandar Tasik Puteri dan kawasan sekitarnya, kata Shaziman.

“Pada Oktober tahun lepas, Perdana Menteri sendiri pernah datang mendengar permasalahan penduduk dan meminta kementerian kami membuat kajian. Perkara ini kemudian dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk pembentangan sebelum diluluskan tiga minggu lepas,” katanya.

No comments:

Post a Comment