Saturday 11 August 2012

Noh bidas tindakan Abdul Khalid sering salahkan pihak lain mengenai isu di Selangor!

KUALA SELANGOR 11 Ogos - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar membidas tindakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa sering menyalahkan pihak lain berhubung isu yang berlaku di negeri itu termasuk isu membabitkan Universiti Selangor (Unisel).

Beliau berkata, Abdul Khalid tidak sepatutnya menyalahkan kerajaan BN kerana universiti itu sebelum ini tidak pernah mengalami masalah sepanjang berada di bawah pentadbiran BN.

Sepatutnya kerajaan Selangor salahkan diri kerana gagal membayar hutang kepada Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) dan mereka sepatutnya menjadi kerajaan yang lebih bertanggungjawab.

Mereka boleh pula biayai kos guaman kes mahkamah membabitkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dan pengarah strategik Parti Keadilan Selangor (PKR) Rafizi Ramli menggunakan duit rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program "Maal Kacau Dodol" anjuran Badan Amal Selangor (Kasih) dan Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia (Dendang Anak Malaysia) di Puncak Alam di sini hari ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut membidas kenyataan Abdul Khalid sebelum ini bahawa 44 buah asrama Unisel yang dibina oleh JNSB tidak mempunyai sijil layak menduduki (CF) dan menyifatkan kenyataan Abdul Khalid sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment