Monday 13 August 2012

PAS minat memerintah, bukan tegakkan Islam - Hasan


KUALA LUMPUR: Pendirian PAS yang dilihat semakin lemah dalam memperjuangkan Islam termasuk hukum hudud adalah menyedihkan, kata bekas Naib Presidennya, Datuk Dr Hasan Ali.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia mendakwa golongan 'parasit' di dalam PAS gagal bersuara lantang dan menyebabkan pendirian parti itu goyah apabila didesak DAP berkaitan isu Islam.

Malah katanya, parti itu bukan berhasrat untuk menegakkan perjuangan negara Islam, sebaliknya hanya berminat untuk menguasai kerajaan.
"Saya sedih apabila tiada seorang pun yang bersuara. Kita tengok, semakin lantang penolakan mereka (DAP) kepada negara Islam dan hudud, tapi rakan-rakan saya di dalam PAS semakin menyorok.

"Sebab mereka (golongan parasit) tidak mahu pandangan mereka itu boleh menyebabkan pengundian mereka dari bukan Islam akan menyekat pergerakan mereka ke Putrajaya," katanya pada sidang media di Hotel Vistana, malam tadi.

Kontroversi PAS dan DAP mengenai isu negara Islam yang kini sudah berlanjutan dikeruhkan lagi apabila Presiden DAP, Karpal Singh meminta bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas memberikan 'kuliah' kepada pemimpin PAS mengenai isu negara Islam dan menjelaskan alasan bahawa hukum hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini.

Karpal dilaporkan berkata, Salleh sepatutnya memberi penerangan kerana beliau merupakan individu yang memutuskan bahawa Malaysia adalah negara sekular pada tahun 1988.

Terbaru, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mazlan Aliman mengesahkan pemimpin-pemimpin parti Islam itu diarah untuk "tutup mulut" daripada memberikan sebarang komen berhubung isu hudud yang dikenalpasti punca perbalahan dalam Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Hasan berkata, PAS juga bakal berhadapan dengan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) akan datang sekiranya isu berkaitan pendirian parti gagal ditangani.

"Saya yakin, kalau ini tidak dapat ditangani, saya takut, kasihan pada mereka yang memperjuangkan Pas kerana kemungkinan PAS akan ditolak oleh pengundi kerana sudah terkeluar dari garisan untuk menegakkan negara Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment