Monday 27 August 2012

Jamuan Hari Raya bersama Najib di RRI Sabtu ini

SHAH ALAM: Orang ramai berpeluang menikmati juadah Hari Raya dan bertemu Datuk Seri Najib Razak dalam majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri bersama Perdana Menteri di Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI) di Sungai Buloh, Sabtu ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, majlis ramah mesra pemimpin bersama rakyat Selangor itu akan berlangsung dari 1 tengah hari hingga 5 petang, dan Perdana Menteri dijangka tiba pada jam 2.30 petang. Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata kira-kira 100,000 orang dijangka hadir pada majlis itu, dan kerana itu RRI, yang memiliki enam buah padang, dipilih untuk penganjuran majlis terbabit oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan acara itu yang dihadiri lebih 100 wakil daripada badan bukan kerajaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, pemimpin masyarakat, jabatan dan agensi kerajaan di sini hari ini.

Noh berkata, bagi melicinkan pergerakan lalu lintas dan orang ramai ke tempat acara, perkhidmatan bas ulang-alik disediakan setiap setengah jam.

Antara tempat perhentian bas ulang-alik terbabit ialah Stesen Komuter Sungai Buloh, Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang, Bukit Subang, Kem Tentera Sungai Buloh, Kampung Melayu Subang, Kota Damansara dan Pejabat Umno Bahagian Shah Alam.

Noh berkata, selain menjamu selera, para pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, Rohana Jalil, penyanyi 60-an A.Halim, Haziq AF, pelawak Maidin dan penyanyi daripada kaum Cina, India serta masyarakat Orang Asli.

No comments:

Post a Comment