Thursday 23 August 2012

Alunan zikir dorong peluk Islam


POKOK SENA - Kemerduan laungan azan dan zikir menimbulkan rasa tenang kepada seorang banduan sehingga membuatkan dia mengambil keputusan memeluk Islam.

Banduan yang mahu dikenali dengan Ahmad, 25, merupakan seorang penganut agama Kristian sebelum memeluk Islam pada 10 Oktober tahun lalu.

Ahmad berkata, tindakannya memeluk Islam ketika berada dalam tahanan reman di Penjara Alor Setar langsung tidak dipengaruhi atau dipaksa sesiapa.

Menurutnya, keinginan memeluk Islam pernah dirasai sebelum menjadi penghuni tirai besi itu, namun pelbagai halangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi sehingga hasratnya itu terpaksa dilupakan.

“Sebelum ini hati saya sering memberontak dan ada sahaja yang tidak kena, namun apabila terdengar alunan zikir yang dipasang, saya akan berasa lebih tenang untuk menjalani kehidupan sebagai banduan.

“Saya juga memberitahu kepada keluarga yang saya memeluk Islam dan mereka menerimanya dengan hati terbuka namun, ayah saya masih belum dapat menerima keputusan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad yang berasal dari Alor Setar terpaksa menjadi penghuni tirai besi di Penjara Pokok Sena selama dua tahun sepuluh bulan atas kesalahan mengedar dadah.

Menurutnya, sepanjang berada dalam penjara banyak ilmu mengenai agama Islam dipelajari nya termasuklah solat, mengaji al-Quran, berpuasa dan lain-lain.

"Zikir, al-Quran dan munajat kini menjadi 'teman' kepada diri setiap kali dia berasa sunyi atau tertekan. Sepanjang Ramadan yang lalu, dia juga berpuasa seperti umat Islam yang lain dan bersyukur kerana mampu menghabiskan puasa selama sebulan dengan penuh sabar," katanya.

Ahmad berkata, sebagai persediaan, dia juga berlatih untuk berpuasa sunat selama tiga minggu sebelum tiba Ramadan supaya lebih mudah baginya berdepan dengan puasa yang sebenar.

“Selain berpuasa, saya juga membayar zakat fitrah dengan menggunakan gaji saya sebagai banduan yang memakai baju kolar hijau sebanyak 60 sen sehari,” katanya.

Ahmad berkata, perasaan sebak timbul apabila dia membayar zakat kerana dengan cara itu dia melakukan kebaikan dengan membantu golongan susah selain mendapat ganjaran pahala.

Menurutnya, setelah dibebaskan nanti, dia menyimpan hasrat untuk berdaftar dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) untuk mendalami ilmu Islam agar dirinya tidak mudah terpengaruh dengan cabaran dunia luar.

No comments:

Post a Comment