Tuesday 17 May 2016

Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 Sasar Bantu 150,000 Pelajar Miskin


Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2016 menyasarkan 150,000 pelajar lepasan sekolah cemerlang yang tercicir dalam pelajaran akibat kurang berkemampuan dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jelajah berkenaan adalah kesinambungan Program Jelajah Destini Anak Bangsa 2014 yang mula bertapak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak tahun 2016. Beliau yang juga penaung dan menteri mentor JPB 2016 menyatakan inisiatif itu kini diperluaskan kepada 10 institusi pengajian tinggi (IPT) lain diseluruh negara bermula bagi kemasukan Mei ini.

Katanya, langkah berkenaan membuktikan kerajaan serius memperkasa pendidikan tinggi bumiputera supaya setanding dengan bangsa-bangsa lain selain meletakkan agenda golongan itu di mata dunia.

“Pemilihan penuntut berdasarkan kelulusan yang mereka peroleh kerana kebanyakan pelajar luar bandar ini tidak dapat melanjutkan pengajian disebabkan gagal dalam subjek tertentu terutamanya Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Bagi kemasukan Mei ini, kami sasar 37,000 penuntut untuk mendaftar di 10 IPT terlibat dan kami akan terus jelajah ke 52 Parlimen terpilih seluruh negara bagi mencapai objektif JPB 2016,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran jelajah berkenaan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru, di sini.

Jelas Ismail Sabri lagi, JPB 2016 juga akan memberi fokus kepada program latihan teknikal dan vokasional (TVET) supaya peluang untuk bakal penuntut melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selain daripada bidang akademik dapat diperluaskan.

Katanya, bakal penuntut IPT juga bebas memilih mana-mana badan pinjaman pendidikan bagi menampung pembiayaan sepanjang tempoh pengajian tersebut.

JPB 2016 diberi transformasi baharu oleh Najib untuk memberi peluang kedua kepada pelajar bumiputera melanjutkan pengajian dengan rakan strategik institusi pendidikan antaranya Universiti Kuala Lumpur (UniKL); kolej komuniti; Kolej Polytech Mara (KPTM); Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC)