Tuesday 14 August 2012

SELANGOR AKUI ADA KRISIS AIR


Kerajaan Selangor tahu dan mengakui krisis air akan berlaku di negeri itu, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 2014 di sebalik bertegas mengatakan bekalan air terawat mencukupi hingga 2019.
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), berkata bukti kerajaan Selangor mengakui krisis air akan berlaku jika tiada sebarang langkah diambil untuk menanganinya, ialah apabila ia bersetuju melaksanakan lima daripada lapan projek mitigasi yang dicadangkan kerajaan pusat bernilai RM301 juta.

“Persetujuan kerajaan Selangor untuk melaksanakan projek itu menunjukkan kerajaan negeri sememangnya mengakui krisis air akan berlaku pada 2014, kerana jika tiada sebarang langkah diambil untuk menanganinya.

“Ini menunjukkan pendirian kerajaan Selangor yang mengatakan bekalan air terawat mencukupi sehingga 2019, adalah kenyataan yang tidak disokong oleh fakta,” kata KeTTHA dalam satu kenyataan di sini, semalam.


Peruntukan RM606 juta untuk laksana lapan projek mitigasi air

KeTTHA berkata, Kerajaan Pusat sebelum ini bersetuju meluluskan peruntukan RM606 juta untuk melaksanakan lapan projek mitigasi itu bagi mengelakkan krisis air di tiga kawasan berkenaan.
Katanya, ini berikutan kerajaan Selangor tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan loji rawatan air di negeri itu membekalkan air terawat yang mencukupi.

Kenyataan kementerian itu bertujuan membetulkan beberapa kenyataan dibuat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa Exco kerajaan negeri, termasuk Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Penyayang, Dr Xavier Jayakumar serta anggota Parlimen Klang, Charles Santiago sejak 23 Julai lalu mengenai masalah air di Selangor.

“Pembetulan ini dibuat kerana kenyataan berkenaan tidak tepat dan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai,” menurut KeTTHA.

Kementerian itu juga berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa tidak ada keperluan catuan air dalam masa terdekat di Selangor bukan bermakna krisis air di negeri itu tidak akan berlaku pada 2014.

“Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor yang dipengerusikan Muhyiddin membuat keputusan bahawa catuan air tidak perlu dilaksanakan pada masa ini kerana kedudukan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara keseluruhannya mencukupi,” katanya.

Ini berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang memaklumkan kedudukan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara keseluruhannya masih terkawal, namun terdapat beberapa kawasan yang dikenal pasti sering kali mengalami gangguan bekalan air.


SPAN kenal pasti kawasan kerap ada gangguan

Ini disebabkan rizab simpanan air yang sangat rendah iaitu secara puratanya 2.5 peratus saja berbanding paras optimum 10 peratus, menurut KeTTHA.

“Bagaimanapun, SPAN diminta mengenal pasti mana-mana kawasan yang kerap menghadapi gangguan bekalan air dan sekali gus menyediakan pelan kontingensi bagi kawasan ini sebagai persediaan menghadapi catuan, bekalan air sekiranya diperlukan, melalui perbincangan dengan Syarikat Bekalan Air Selangor dan kerajaan Selangor,” katanya. - BERNAMA
____________________________________

p/s: Sebagai sebuah kerajaan yang baik maka sepatutnya masalah infrastruktur harus dititikberatkan apatah lagi jika ianya merupakan keperluan asas seperti air. Mana2 kerajaan akan menghadapi pelbagai kritikan ke atas pentadbirannya dan semua kritikan yang diberikan sepatutnya dipandang serius bagi memperbaiki kelemahan serta kesilapan..Kerajaan Selangor begitu ego dalam masalah air dan bermati2an mengatakan bahawa air di Selangor mencukupi sehingga 2019..MB Tan Sri Khalid terkeliru di antara bekalan air dengan air terawat..sekarang apa dah jadi? Kenyataan akhbar di atas adalah fakta dan rakyat di sesetengah tempat di Selangor memang menghadapi kesulitan itu..apakah apabila rumah MB dan Exco Kerajaan Negeri Selangor tak ada air baru nak mengaku?

No comments:

Post a Comment