Sunday 30 September 2012

KHALID MB GAGAP PERDAYA PENDUDUK KAMPUNG SERI AMAN PENDUDUK ENGGAN PINDAH


Bengang dan hampa. Itulah perasaan 69 penduduk Kampung Seri Aman terutamanya yang menetap bersebelahan Estet Ladang Coalfields, di sini yang terpaksa berdepan isu hak pemilikan tanah tidak berkesudahan.

Lebih mengecewakan, penduduk sebelum ini tidak pernah mengalami masalah banjir, namun mereka didakwa dipaksa berpindah ke
berhampiran kawasan tadahan hujan.

Penduduk, K Saravanan, 37, berkata, dia kecewa mengenangkan nasib penduduk yang hanya mahukan tanah yang mereka duduki sejak sebelum merdeka lagi tidak diendahkan Kerajaan Negeri sedangkan sebelum ini, surat dan petisyen dihantar sejak April lalu tiada respons.

“Kebanyakan penduduk juga membantah untuk dipindahkan di tapak yang disediakan kerana tidak mempunyai wang untuk membina rumah baru dan terpaksa menanggung kos infrastruktur selain terpaksa merobohkan rumah yang dibina dengan hasil kudrat sendiri.

“Kami bukannya boleh membuat pinjaman bank untuk membina rumah di tapak baru, bahkan penduduk di kawasan ini sepakat untuk tidak berganjak dari tapak rumah asal,” katanya ketika hadir pada sesi bantahan terhadap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu penempatan di kawasan ini.

Seorang lagi penduduk, S Selvi, 33, turut kecewa dengan petisyen yang dihantar kepada pihak MB tidak diambil perhatian dan nasib penduduk seolah-olah bergantung tak bertali memandangkan tidak bersetuju menandatangani surat akujanji yang disediakan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor sebelum ini.

“Saya mendapat tahu, mereka yang bersetuju untuk menandatangani akujanji terbabit merungut apabila dimaklumkan tertipu kerana mereka beranggapan akan ditempatkan di tanah asal, namun dimaklumkan diminta pindah ke kawasan berhampiran tadahan hujan.

“Apa gunanya penduduk yang duduk di kawasan ini yang tidak pernah berdepan dengan masalah banjir dan selesa dengan keadaan sedia ada terpaksa berpindah ke kawasan lain kerana mahu menurut kehendak kerajaan untuk hak pemberian tanah,” katanya.

Bagi K Ramadas, 49, dia kecewa dengan janji palsu PR yang sebelum ini menguar-uarkan penduduk yang menetap lebih 15 tahun akan diberikan hak tanah yang mereka duduki sedangkan sehingga kini, masalah tapak di kampung ini masih belum selesai

Saturday 22 September 2012

PR ANGKAT BENDERA PUTIH - SUHAILA M ZIN

SHAH ALAM – Cabaran PKR meminta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan bakal Menteri Besar Selangor memperlihatkan Pakatan Rakyat (PR) seolah-olah bakal mengangkat ‘bendera putih’ daripada negeri itu kelak.

Ketua Puteri Umno Negeri, Suhaila M Zin berkata, ini kerana, tindakan Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin membuat cabaran itu jelas menunjukkan ‘tanda-tanda’ itu kerana beliau mempersoalkan siapa calon Menteri Besar Selangor daripada BN sendiri.

“Saya cukup tertarik dengan kenyataan YB (Yang Berhormat) Zuraida yang minta TPM (Timbalan Perdana Menteri) mendedahkan calon Menteri Besar daripada BN. Mereka (PR) sudah kalah ke? Kenapa persoalkan MB dari kalangan pemimpin BN?

“Pada pendapat saya, PKR akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti sebab mereka sendiri yang minta (persoalkan) siapa MB Selangor daripada BN,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cabaran dibuat Zuraidah kepada Muhyiddin supaya mendedahkan bakal Menteri Besar Selangor kerana dakwaan Menteri Pelajaran itu sendiri yang sebelum ini mendakwa Umno sudah mempunyai ramuan lengkap untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Suhaila mendakwa, dalam Mesyuarat Umno atau BN di peringkat Bahagian mahupun Negeri, soal siapa calon Menteri Besar tidak pernah dibincangkan, malah mereka lebih menumpukan perhatian kepada strategi memenangi PRU13, sekali gus merampas Selangor daripada PR.

“Kita tidak pernah bincang perkara ini (soal bakal Menteri Besar). Kita hendak kemenangan dulu baru bincang perkara ini. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang akan menilai siapa calon yang layak dilantik menjadi MB.

“Sesiapa pun (pemimpin BN) boleh menerajui negeri (Selangor) jika kita (BN) menang PRU13 nanti,” katanya.

Menurutnya, sepanjang dua tahun ini, Puteri Umno banyak menjalankan aktiviti turun padang mendekati golongan wanita berusia di bawah 40 tahun dan pada masa sama golongan mahasiswi juga tidak ketinggalan walaupun mereka belum cukup umur untuk mengundi.

“Kita hendak beritahu mesej kita dan buktikan bahawa Kerajaan BN mampu memerintah,”

Thursday 20 September 2012

Rizab air Selangor kini dalam keadaan kritikal - NORIAH KASNON


Dakwaan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kononnya negeri itu masih mempunyai kadar simpanan air mencukupi sehingga sanggup mempolitikkan isu pembinaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2, adalah satu pembohongan.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Noriah Kasnon berkata, jumlah rizab simpanan air di Selangor kini berada dalam keadaan sangat kritikal sehingga beberapa kawasan di negeri itu sudah mula menerima kesannya.

Dalam kebanyakan masa ujar beliau, rizab simpanan air di Selangor cuma sekitar dua peratus berbanding 10 peratus untuk berada di tahap selesa dan pada 16 hingga 21 Jun lalu, kadar tersebut menurun ke tahap defisit.

Menurutnya, keadaan defisit itu berlaku ekoran musim kemarau dan ia dijangka bertambah buruk kerana keadaan kering tersebut akan berlarutan sehingga September ini.

"Saya ingin tekankan bahawa masalah kekurangan bekalan air yang sering dibangkitkan Kerajaan Persekutuan merupakan masalah yang benar-benar berlaku dan membawa banyak kesusahan kepada rakyat di Selangor.

"Kerajaan Selangor sepatutnya memberi tumpuan khusus bagi menyelesaikan masalah kekurangan air dan bukannya bermain politik kerana akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat. Isu ini patut ditangani bersama," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Senator Ahamat Yusop di Dewan Negara hari ini.

Mengulas lanjut Noriah berkata, sekiranya Kerajaan PKR Selangor masih berpendirian mahu menangguhkan Projek Loji Rawatan Air Langat 2, krisis air yang dijangka melanda pada 2014 akan lebih parah selepas 2017.

"Projek pembinaan loji ini perlu dilaksanakan selewat-lewatnya tahun ini agar ia siap pada 2017 kerana pelan alternatif iaitu projek mitigasi oleh Kerajaan Persekutuan hanya mampu bertahan sehingga tahun depan,

Thursday 13 September 2012

MB SELANGOR PERLU BERI PENJELASAN PEMBELIAN KOMPAKTOR RM 14.5JUTA


Tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membeli 50 model lori kompaktor sampah yang sudah tidak dikeluarkan lagi bernilai RM14.5 juta, selain tanpa melalui pengedar tunggal peralatan berkenaan menimbulkan tanda tanya.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed (gambar) berkata, meskipun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan pembelian kompaktor tersebut dibuat secara terus dengan syarikat pengeluar di China tetapi persoalannya siapakah yang memutuskan pembelian itu.

"Jika benar model tersebut sudah tidak dikeluarkan, jenis apakah yang sebenarnya dibeli? Siapakah yang memutuskan pembelian tersebut? Sehingga kini, lori-lori kompaktor itu dikatakan masih belum sampai.


''Adakah perasmian penggunaan kompaktor itu yang dilakukan oleh Menteri Besar pada Jun lalu hanya wayang untuk menutup isu sampah?'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Laporan akhbar baru-baru ini memetik kenyataan dari pengedar tunggal model sama kompaktor yang dibeli oleh kerajaan negeri, Dong Feng Commercial Vehicles Sdn. Bhd., menyatakan model berkenaan sudah tidak lagi dikeluarkan.

Menurut laporan itu, pembelian kompaktor yang ketinggalan zaman itu dibuat oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), membabitkan kos RM14.5 juta bagi membantu 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) menyelesaikan masalah kutipan sampah di Selangor.

Abdul Khalid mempertahankan keputusan pembelian 50 buah lori kompaktor tersebut, selain menyatakan ia memberi penjimatan kepada kerajaan negeri.

Kerajaan negeri turut menafikan keputusan menyemak semula pembelian tambahan 50 kompaktor sampah buatan China membabitkan kos RM14.5 juta untuk menyelesaikan masalah kutipan sampah di Selangor mempunyai kaitan dengan dakwaan kononnya model itu ketinggalan zaman.

Sebaliknya, beliau menjelaskan semakan semula itu merupakan satu amalan biasa bagi memastikan pembelian tersebut memberi pulangan wang kepada kerajaan negeri.

Mohd. Zin berkata, pembelian kompaktor oleh kerajaan negeri yang kononnya ingin menyelesaikan masalah sampah di Selangor boleh diibaratkan seperti melepaskan batuk di tangga.

''Setelah membatalkan kontrak Alam Flora, kerajaan negeri yang kononnya prihatin dengan masalah sampah rakyat dikatakan membeli 50 buah kompaktor sampah bernilai RM14.5 juta," katanya.

Malah kata Mohd. Zin, kenyataan Menteri Besar semasa melancarkan pembelian kompaktor tersebut bahawa ia adalah bagi kegunaan PBT dan disewakan kepada kontraktor yang tidak mempunyai kapasiti, cukup mengelirukan.

''Sedangkan syarat untuk menjadi kontraktor kutipan sampah ialah sesebuah syarikat perlu memiliki kemudahan asas seperti kompaktor," katanya.

Justeru beliau berkata, pihaknya menunggu jawapan daripada Menteri Besar tentang perkara tersebut kerana pada masa ini Pusat Khidmat Rakyat (Pakar) BN Selangor masih menerima aduan berkaitan sampah yang tidak dipungut.

''Hakikatnya, isu sampah masih belum selesai," tegas beliau.

Wednesday 12 September 2012

Pilihan raya berasingan bukti Kerajaan Selangor takut serah mandat kepada rakyat


Cadangan agar Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Dewan Rakyat, hanya menunjukkan pakatan pembangkang takut dengan angin perubahan yang melanda negeri itu.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang membuat saranan itu kerana beliau sedar tentang sokongan rakyat yang telah kembali kepada BN termasuk masyarakat India yang dahulunya memihak kepada pakatan pembangkang.

Oleh itu, katanya, Anwar mula mencari alasan baru kononnya senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersih dan hanya akan menyertai pilihan raya umum selepas semuanya bersih mengikut pandangan mereka.

"Dahulu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pernah mengeluarkan kenyataan yang Dewan Undangan Negeri Selangor tidak akan dibubarkan sekiranya pilihan raya umum diadakan sebelum Jun 2012. belum ada tanda tetapi Anwar pula cadang Selangor tidak akan sertai pilihan raya itu dengan alasan baru.

"Sebenarnya Anwar dan pembangkang takut dengan angin perubahan rakyat Selangor dan mereka juga takut kerana semakin hilang sokongan,

Ini kerana, ujar beliau, pakatan pembangkang tidak lagi boleh memperalatkan pihak lain sebagai contohnya Hindraf kerana sokongan kaum India terhadap mereka semakin menyusut.

Bagaimanapun, kata Noh, BN Selangor tidak mempunyai masalah jika kerajaan PKR negeri tetap mahu mengadakan pilihan raya berasingan kerana ia juga sebenarnya akan memberikan kelebihan kepada BN apabila dapat memberi tumpuan sepenuhnya di Selangor.

Monday 10 September 2012



TANJONG KARANG – Laporan kewangan Universiti Selangor (Unisel) mencatatkan kerugian sejak 2008, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar semalam, selepas Kerajaan Negeri masih mendiamkan diri.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai bukti laporan audit kewangan Unisel yang sudah ditandatangani Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 27 Ogos 2011 lalu mencatatkan kerugian selepas cukai berjumlah kira-kira RM54.8 juta sejak Pakatan Rakyat (PR) memerintah Selangor.

“Disebabkan Abdul Khalid masih berdiam diri berhubung isu kewangan Unisel, saya tampil membuat pendedahan berdasarkan pada salinan laporan audit bagi 2009-2010 menunjukkan kerugian selepas cukai sebanyak RM1.63 juta pada 2008, RM13.55 juta (2009) dan RM39.68 juta pada 2010.

“Universiti ditadbir Kerajaan Negeri Selangor itu mencatatkan jumlah pendapatan RM94.40 juta pada 2008, RM93.51 juta (2009) dan jumlah itu menurun kepada RM75.48 juta bagi 2010.

“Bagi 2008, jumlah perbelanjaan adalah sebanyak RM93.97 juta dan jumlah itu meningkat kepada RM106.13 juta pada 2009 dan RM113.11 juta pada 2010.

“Mana hebatnya Menteri Besar yang dikatakan tokoh korporat itu menyelesaikan krisis kerugian Unisel ini? Macam mana ekonomi negeri mahu ditingkatkan sedangkan ekonomi Unisel sendiri merundum,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien di Dewan Datuk Hormat, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias dan Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kegagalan Abdul Khalid menunaikan janjinya untuk mendedahkan laporan audit sebelum berakhir Ogos lalu jelas menunjukkan sikap tidak boleh menepati janji.

“Apabila saya timbulkan isu kewangan Unisel dalam keadaan nazak dalam Sinar Harian Julai lalu, masa itu Menteri Besar begitu ego dan sombong sehingga meminta saya belajar akaun dengan dia.

“Sekarang sudah selesai Ogos, saya mahu tanya Menteri Besar adakah audit Unisel masih belum selesai? Sebenarnya audit itu sudah lama selesai,” katanya yang turut meminta agar Menteri Besar dari PKR itu berhenti daripada terus menipu rakyat negeri itu.

Noh turut meminta menteri besar jangan cuba menyembunyikan fakta isu kewangan Unisel dan mencabar Abdul Khalid tampil dan menjawab dakwaan ini

Friday 7 September 2012

Barisan Nasional boleh rampas Kelantan - Noh Omar-


KOTA BHARU 7 Sept. - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Noh Omar meramalkan, Barisan Nasional (BN) akan berjaya merampas semula Kelantan daripada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Noh yang optimis dengan perkara tersebut berkata, sambutan luar biasa rakyat Kelantan kepada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menunjukkan, rakyat Kelantan mahukan perubahan kerana sudah jemu dengan sikap Pas yang hanya pandai menyalahkan pihak lain bagi menutup kelemahan mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu bagaimanapun mengingatkan, kemenangan tersebut akan hanya tercapai jika BN dan UMNO di semua peringkat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan mereka dengan mengutamakan parti berbanding peribadi.

Selain itu katanya, ia juga bergantung kepada sejauh mana jentera parti di semua peringkat mengekalkan momentum gerak kerja dan berjaya meyakinkan rakyat bahawa hanya BN yang mampu membawa perubahan kepada mereka.

"Percayalah, jika BN dan UMNO berjaya meyakinkan, rakyat akan berubah tetapi dengan satu syarat, kita buktikan perpaduan kita dengan meletakkan parti melebihi kepentingan individu," katanya berucap menutup Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Kerian di Dewan Datuk Sri Najib Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Gafar (1) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO bahagian, Datuk Mohd. Fauzi Ismail; Timbalan beliau, Mohamad Noordin Awang; Naib Ketua UMNO bahagian, Saidi Mohd. Nor; Ketua Wanita, Datuk Zaleha Hussin; Ketua Pemuda, Anuar Safian dan Ketua Puteri, Azlinda Alis.

Menurut Noh, rakyat yang bertindak sebagai hakim, kini sedang memerhati dan membuat perbandingan antara Pas dan BN serta akan membuat keputusan pada pilihan raya itu nanti.

Justeru, beliau mengingatkan jentera parti supaya meneruskan gerak kerja di peringkat akar umbi mendekati rakyat bagi menarik sokongan mereka sehingga ke saat-saat akhir.

"Saya percaya walaupun tarikh pilihan raya menjadi teka teki, gerak jentera untuk memastikan kemenangan parti tidak boleh menjadi teka teki, kita boleh capai kemenangan bila ada satu kekuatan," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan janji-janji pembangkang dalam manifesto parti itu, kerana ia hanya untuk memancing undi dan tidak akan ditunaikan.

Jelasnya, sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, manifesto bagi pembangkang bukanlah satu janji yang mesti ditunaikan dan keadaan itu berbeza dengan BN/UMNO.

Thursday 6 September 2012

SIKAP BERDOLAK-DALIK MB SELANGOR DI BIDAS -NOH OMAR


Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor Datuk Seri Noh Omar membidas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berdolak-dalik dan masih gagal memberi penjelasan berhubung tindakan menjemput Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan malam ambang merdeka peringkat negeri baru-baru ini.

Beliau berkata kenyataan Abdul Khalid bahawa Ketua Pembangkang itu hadir sebagai tetamu jemputan dan bukannya tetamu kehormat jelas menunjukkan Abdul Khalid keliru dan tidak memahami protokol sambutan kemerdekaan serta peranannya dalam kerajaan negeri.

"Kalau dipanggil sebagai tetamu jemputan, kenapa Anwar perlu memberi ceramah pada sambutan ambang kemerdekaan?

"Kedua-dua menteri besar dan Anwar tidak faham peranan mereka pada majlis itu iaitu sama ada sebagai tetamu, penceramah atau perasmi, dan ini menunjukkan kerajaan pakatan pembangkang Selangor ketika ini berada dalam keadaan "caca-marba"," katanya.

Noh bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan alat tulis kepada pelajar di kawasan Parlimen Tanjong Karang yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.

Noh mengulas kenyataan Abdul Khalid semalam bahawa tindakan kerajaan negeri menjemput Anwar menghadiri sambutan malam ambang Kemerdekaan ke-55 baru-baru ini adalah sekadar tetamu jemputan untuk memberi ceramah, dan bukan sebagai tetamu kehormat.

Beliau turut menuntut penjelasan Abdul Khalid sama ada program itu merupakan program rasmi kerajaan negeri atau program politik apabila menjemput Anwar yang tidak memegang apa-apa portfolio rasmi dalam kerajaan negeri

TERBARU SELANGORKU TAKTIK TERBARU DAP DAN KHALID GAGAP TAK MENJADI!!!!! PELANGGAN CUCI KERETA DI TAWAR SEKS PERCUMA


SHAH ALAM – Cuci kereta sembilan kali dapat perkhidmatan seks secara percuma.

Itu promosi yang dibuat sebuah premis pelacuran yang berselindung di sebalik kegiatan cuci kereta di Sunway Mentari, Petaling Jaya.

Bagi menarik minat pelanggannya, pemilik premis menawarkan sembilan pelacur warga Vietnam berusia 18 hingga 28 tahun.

Bagaimanapun, hanya pelanggan berbangsa Cina dibenarkan untuk mendapatkan promosi tersebut.

Pelanggan yang datang ke premis itu akan diberikan kad dan sekiranya cukup sembilan kali mencuci kereta, mereka boleh menebus seorang gadis di situ untuk aktiviti seks.

Bagaimanapun, taktik kotor premis yang beroperasi tiga bulan lalu itu terbongkar selepas diserbu polis, kelmarin, kira-kira jam 12 tengah malam.

Dalam serbuan itu, lima pelanggan sedang melakukan seks dan empat penjaga premis serta wanita yang menyalahgunakan pas lawatan tersebut ditahan.

Ketika serbuan, ada yang cuba melarikan diri dan menyorok di dalam stor.

Polis turut menemui kad cuci kereta serta beberapa kondom yang disembunyikan di dalam ketuhar gelombang mikro.

Siasatan polis mendapati premis itu juga mengenakan bayaran RM130 hingga RM180 kepada pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan seks.

Dalam perkembangan lain, polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman menyerbu dua premis yang menawarkan urutan batin oleh wanita warga China di Selayang, semalam.

Operasi yang diketuai Inspektor Mohamad Md Jaid itu menahan 12 tukang urut berusia 20 hingga 36 tahun.

Premis yang beroperasi tiga tahun lalu itu menyasarkan pemandu lori sebagai pelanggan tetap

Wednesday 5 September 2012

SIKAP TUDING JARI JADI BUDAYA PKR - NOH OMAR


Barisan Nasional (BN) Selangor tidak hairan jika pemimpin pembangkang mengaitkan parti itu dalam insiden membaling batu dan melempar cat merah ke atas bas khas yang dinaiki Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kelantan minggu lalu.

Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, sikap menuding jari menyalahkan orang lain sudah menjadi budaya dalam kepimpinan pakatan pembangkang walaupun tidak ada kena mengena dengan BN atau Umno.

“Saya ingat kemungkinan dua atau tiga hari lagi dari pihak sana mendakwa kita (BN) yang buat. Ini memang cara mereka. Tapi soalnya itu program siapa? Sedangkan mereka yang anjurkan. Program kononnya baju kuning Bersih, tetapi apabila berlaku sesuatu mereka (PR) cuba hendak lepas tangan. Itu pemimpin tak bertanggungjawab, bila apa-apa berlaku cuba salahkan orang lain,” katanya.

Tuesday 4 September 2012

Pemain skuasy Azlan Iskandar sertai Umno


Pemain skuasy negara, Mohd Azlan Iskandar mengambil keputusan menyertai Umno, sekali gus menjadi atlet ternama pertama menyertai parti politik.

Penyerah borang menyertai Umno Segambut diadakan pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Segambut Ahad lalu.

Azlan ketika dihubungi berkata, penyertaannya dalam politik kerana percaya dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan percaya dengan sistem kerajaan sedia ada.

“Penyertaan ini adalah dari saya sendiri dan tidak dipengaruhi siapa-siapa, malah pada orang yang mengenali saya, mereka tahu saya bukan jenis yang mudah dipengaruhi

Dalam pada itu, Azlan turut mengakui akan mengundi buat pertama kalinya pada PRU akan datang setelah kembali menetap di Malaysia awal tahun ini.

Katanya, dia menetap di England sejak berumur 16 tahun, dan tidak mendapat pendedahan yang sewajarnya dalam memberi kesedaran untuknya melaksanakan tanggungjawab mengundi.

“Sekarang umur saya 30 tahun dan saya rasa lebih baik saya mulakan sekarang daripada langsung tidak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Segambut, Datuk Kamarudin Ambok, berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan golongan muda dalam Umno terutamanya golongan profesional.

“Pihak Umno tidak menawarkan apa-apa, kerana penyertaan Azlan ini atas dasar dia sendiri mahu berkhidmat dalam Umno. Jadi saya harap ia dapat menjadi ikutan golongan muda,” katanya.

PEMBANGKANG BUAT RAKYAT KURANG AJAR


Isu belakangkan institusi Raja sambut merdeka, hina pemimpin bukti biadab

Walaupun tindakan kerajaan pakatan pembangkang mengetepikan Sultan Selangor dalam sambutan ulang tahun kemerdekaan peringkat negeri itu dan perbuatan melondeh seluar serta memijak ke atas gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka menjelang 31 Ogos lalu mungkin insiden berasingan, ia mempunyai satu persamaan - mencerminkan sifat kurang ajar. Tindakan tidak mengundang Sultan Selangor ke acara tahunan menyambut ulang tahun kemerdekaan, walau apa pun alasannya, bukan saja menunjukkan kepemimpinan kerajaan negeri itu menafikan kepentingan dan peranan sultan dalam sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi amalan di negara ini, ia dilihat sebagai penghinaan terhadap institusi Raja.
Disebabkan adat dan budaya Melayu yang menjadi sebahagian besar asas kebudayaan rakyat negara ini sejak sekian lama, semakin tidak dihormati segelintir pemimpin atau parti politik, ia kini menular kepada generasi muda.
Lebih malang lagi, jika tindakan itu semata-mata kerana kemarahan kerajaan negeri terhadap Kerajaan Pusat, ia mencerminkan kerajaan pakatan pembangkang sekarang sanggup melakukan apa saja kerana politik. Mereka seolah-olah gagal membezakan antara institusi Raja, yang peranannya termaktub dalam Perlembagaan, dengan parti politik yang mereka musuhi.

Insiden terbaru membabitkan kerajaan negeri dengan Istana Selangor itu meningkatkan lagi anggapan umum bahawa pakatan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS, sejak mencatat kemenangan besar pada pilihan raya umum lalu, semakin tidak menghormati institusi raja.

Kecuali kerajaan Kedah, yang didominasi oleh PAS, negeri lain di bawah pemerintahan pakatan pembangkang sering menimbulkan masalah dengan istana.

Perbuatan di luar protokol istana di Selangor sejak pakatan pembangkang memerintah juga bukan perkara baru. Malah, pemimpin kerajaan Pulau Pinang yang tidak beraja pun pernah dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menyinggung Sultan Johor.
Barangkali, disebabkan adat dan budaya Melayu yang menjadi sebahagian besar asas kebudayaan rakyat negara ini sejak sekian lama, semakin tidak dihormati segelintir pemimpin atau parti politik, ia kini menular kepada generasi muda. Insiden seorang pemuda melondeh seluarnya dan memijak gambar Perdana Menteri, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof sambil disokong sekumpulan rakannya di Dataran Merdeka malam Jumaat lalu adalah contoh terbaik bila tindakan parti politik atau kumpulan disertai mereka, dilihat tidak menghormati adat resam dan peraturan.

Tidak kiralah sama ada gambar Perdana Menteri atau rakyat biasa, perbuatan seumpama itu memang bukan budaya rakyat negara ini. Hanya mereka yang tidak dididik dengan baik atau ditanam dengan sifat kebencian melampau, sanggup melakukan perkara itu.

Kalaupun mereka tidak mahu menghormati Najib sebagai pemimpin, jika terdidik dengan baik, mereka tentunya menghormatinya sebagai orang lebih tua. Semua bangsa di negara ini – Melayu, Cina dan India – mengajar anak mereka menghormati orang tua. Tidak ada budaya rakyat negara ini yang mengajar anak mereka menjadi kurang ajar.

Oleh itu, agak sukar bagi kita untuk tidak mengaitkan insiden di Dataran Merdeka itu dengan budaya politik yang dibawa parti pembangkang sejak akhir-akhir ini. Walaupun perhimpunan itu dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan, semua orang tahu siapa di belakang mereka.

Jika tidak bermotifkan politik, kenapa ada sekumpulan belia berbaju kuning berarak mengibarkan bendera dan membawa poster yang mereka dakwa bakal menggantikan Jalur Gemilang? Tidak mungkin insiden membawa bendera berwarna merah putih tanpa 14 jalur itu berlaku secara spontan. Apakah ini satu isyarat bahawa Jalur Gemilang juga akan ditukar jika pakatan pembangkang dapat memerintah negara nanti?

Semua insiden ini mendedahkan betapa jeliknya politik sesetengah golongan di negara ini. Oleh kerana perbezaan pendapat dan terlalu kemaruk kuasa, mereka sanggup mengubah dan melakukan apa saja sehingga menimbulkan pertanyaan, apakah tiada langsung semangat patriotik di jiwa mereka?

Pusat tahfiz terima RM40,000


SHAH ALAM: Kisah Darul Tahfiz Ummul Qura (DTUQ) di Jalan Kebun, di sini, yang mengalami masalah kekurangan bekalan air dan penginapan kurang selesa disiarkan media sebelum ini mendapat perhatian Barisan Nasional (BN) Selangor yang tampil menghulurkan sumbangan sebanyak RM40,000, semalam.

Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, institusi pendidikan agama wajar diberikan perhatian kerana ia mampu melahirkan generasi yang mempunyai keperibadian tinggi lengkap dengan pengetahuan dunia dan akhirat.
“Saya berharap langkah BN Selangor menaik taraf bangunan, pelajar dapat memberikan lebih perhatian terhadap pendidikan ditawarkan dengan lebih berkesan,” katanya ketika merasmikan Program Komuniti Suara Komuniti BH Menaiktaraf Bangunan Darul Tahfiz Ummul Qura (DTUQ) di Jalan Kebun, dekat sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Abdul Jalil Hamid; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali.


Pada majlis berkenaan, Noh turut mengumumkan bantuan tambahan RM50,000 kepada DTUQ.

Sunday 2 September 2012

BN SELANGOR SEDIA GEMPUR PAKATAN PEMBANGKANG- ZIN MOHAMED


Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Selangor sudah bersedia untuk bergerak sebagai satu pasukan dalam usaha merampas semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13, kata Koordinator BN negeri, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed.

Katanya, jentera BN termasuk dari UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP semakin bersemangat untuk menghadapi kerajaan pakatan pembangkang diterajui PKR yang kini dibelenggu pelbagai isu termasuk isu air, skandal Talam Gate dan sistem penyampaian yang lemah.

"Sudah lama kami memperkasa dan memperkukuhkan jentera parti di peringkat akar umbi dan dari masa ke semasa jentera parti diperkemaskan berdasarkan faktor politik semasa," katanya dalam satu temu bual dengan portal The Selangor Times hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, BN Selangor sentiasa memantau perkembangan di 56 kawasan DUN dan 22 Parlimen untuk mendalami permasalahan rakyat dan isu-isu yang berbangkit bagi memastikan nasib rakyat Selangor sentiasa terbela walaupun kuasa pentadbiran dikuasai PKR-DAP-Pas.

"Pembentukan Pusat Khidmat Rakyat BN Selangor (Pakar) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan Mei lepas menjadi platform 'sehenti' yang cukup berkesan dan efektif untuk rakyat Selangor mengemukakan aduan, laporan dan bantahan secara talian hotline yang secara langsung melibatkan hubungan dua hala antara BN dan rakyat," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan calon BN di Selangor pada PRU akan datang, Zin yang juga bekas Menteri Kerja Raya berkata, perkara tersebut merupakan kuasa mutlak Presiden UMNO dan menasihatkan semua pihak mendahulukan kepentingan serta masa depan UMNO dan BN .

"Saya akui proses pemilihan calon merupakan faktor yang paling kritikal menjelang mana-mana pilihan raya umum. Parti pembangkang turut mengalami fenomena yang lebih mencemaskan jika dibandingkan dengan BN dalam isu pemilihan calon.

"Tetapi senario dalaman BN lebih terkawal kerana kita mempunyai kepimpinan yang kuat dan apatah lagi di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Noh Omar selaku Timbalan Pengerusi UMNO BN dan UMNO Selangor," katanya.

BN ketika ini menguasai 20 kerusi DUN manakala pakatan PKR, Pas, DAP memenangi 36 kerusi daripada 56 kerusi di negeri itu, sementara bagi Parlimen, BN hanya menang di lima daripada 22 kawasan yang ditandinginya.

Sementara itu, Zin turut membidas sikap kerajaan negeri Selangor khususnya Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam menangani skandal pengambilalihan hutang Talam yang sifatkannya sebagai skandal 'Talam Gate'.

"Beliau masih berdolak-dalik dan bermain politik mengenai isu ini. Banyak pendedahan telah dibuat berhubung isu Talam tetapi kerajaan negeri masih mendiamkan diri. Rakyat mahukan jawapan dan penjelasan yang terperinci bukannya melarikan diri," katanya .

Zin turut menyelar tindakan kerajaan negeri dalam menangani isu air yang semakin kritikal.

KENYATAAN KURANG AJAR : NOH OMAR


Kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin bahawa istana perlu memaklumkan kepada pihaknya jika Sultan ingin mencemar duli hadir pada sambutan ulang tahun kemerdekaan disifatkan sebagai satu penghinaan dan kurang ajar.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, kenyataan ‘kurang cerdik’ orang kanan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggambarkan sikap sebenar kerajaan negeri PKR yang hanya mementingkan politik.

“Dia (Faekah) bukan saingan saya untuk berdebat. Apa yang saya minta ialah Menteri Besar jawab apa yang sudah berlaku dan memberi penjelasan sama ada sambutan ambang kemerdekaan ini adalah majlis politik atau majlis rasmi anjuran kerajaan negeri.

“Menteri Besar jangan salahkan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Mohammed Khusrin Munawi).

“Saya ada bertanyakan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abu Hasan Omar dan beliau memberitahu hal berkaitan majlis sambutan kemerdekaan biasanya dibincangkan dalam mesyuarat EXCO. Jadi, mana mungkin Abdul Khalid terlepas pandang perkara ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dakwa berlaku kekeliruan
Semalam, Faekah dalam satu kenyataan akhbar berkata, sekiranyan Sultan Selangor berkenan untuk mencemar duli dan menghadiri sambutan ulang tahun kemerdekaan , adalah menjadi tanggungjawab Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Mohamad Munir Bani untuk memaklumkan kepada Setiausaja Kerajaan Negeri.

Sambutan memalukan
Mengenai sambutan ulang tahun kemerdekaan yang berlangsung hambar, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, ia memalukan bagi majlis anjuran kerajaan negeri.

“Sambutan Hari Merdeka adalah satu hari yang hebat dan ia tidak sepatutnya tidak mendapat sambutan. Mungkin apabila Menteri Besar tengok majlis yang dihadiri Perdana Menteri ramai, dia pun ingin buat benda yang sama dan ajak Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.

Saturday 1 September 2012

PR lebih hormat Anwar berbanding Sultan Selangor


Datuk Seri Najib Razak melihat tindakan kerajaan Selangor tidak menjemput Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika sambutan ambang Kemerdekaan di Dataran Shah Alam bukanlah satu tindakan yang mengejutkan.
Sebaliknya, perdana menteri itu berkata kerajaan Pakatan Rakyat (PR) itu juga lebih menghormati Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mempunyai “locus standi” berbanding Sultan Selangor.

“Soal tidak hormat Sultan Selangor bukan mengejutkan kita... mereka lebih hormat penasihat ekonomi yang tidak ada locus standi,” tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu ketika Majlis Rumah Terbuka BN Selangor di sini.
Menurut Najib Sultan Selangor adalah simbol kepada perpaduan dan kedaulatan negeri dan seharusnya baginda diberi penghormatan.
Namun tindakan PR itu adalah bukti kepada banyak perkara yang cuba diubah dan dilakukan PR, namun tidak berjaya disebabkan Putrajaya masih lagi di bawah penguasaan BN.

“Baginda adalah simbol kepada negeri yang perlu kita hormati... semua mereka nak ubah, mereka juga ingin menukar bendera kita.

“Banyak perkara mereka nak lakukan tapi tak boleh lakukan kerana kuasa Putrajaya dalam tangan kita,” tegas Najib disambut tepukan gemuruh hadirin yang menyertai majlis rumah terbuka berkenaan.

Najib juga turut menegaskan Putrajaya akan kekal dikuasai BN selepas pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Kita akan merempuh dalam pilihan raya akan datang dan pastikan Putrajaya kekal menjadi milik BN,” tegasnya lagi.

Kerajaan PR Selangor telah menerima tekanan daripada pemimpin BN kerana dikatakan membelakangkan Sultan Selangor apabila tidak menjemput baginda dalam sambutan ambang Kemerdekaan di Shah Alam pada malam Khamis lalu.