KUALA LUMPUR - Jangan cuba-cuba mahu bereksperimen untuk menukar kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana Barisan Nasional (BN) merupakan parti yang terbukti relevan sepanjang zaman sebagai pilihan utama, kata Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Semenjak lebih 50 tahun lalu, parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali temali, menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan Transformatif," katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno ke-66 di Dewan Merdeka, hari ini.
[UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO 2012]
Menurut Najib, BN sebagai parti pemerintah pada hari ini sentiasa bergerak ke hadapan dengan pelbagai kaedah demi memenuhi kehendak rakyat.
"Pokoknya kita pada tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat perubahan yang tepat pada masanya," ujar Najib.
Meskipun katanya, jarum-jarum politik pembangkang mencucuk rakyat untuk memberi peluang kepada pembangkang, "ini adalah risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji."
Najib kemudian menyindir pembangkang yang menabur pelbagai janji manis dalam misi merampas tampuk pemerintahan.
"Jika pada peringkat janji lagi sudah tidak boleh dipegang dan dipercayai, maka lebih selamat untuk para pengundi agar menjauhi parti tersebut," kata Najib.
No comments:
Post a Comment