Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) 2012 peringkat Kuala Lumpur yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini juga menarik minat mereka yang sudah bekerja tetapi mahu mencari pekerjaan yang lebih baik.
Pengerusi Sekretariatnya, Nazir Hussin Akhtar Husin berkata pihaknya mendapati kebanyakan pengunjung merupakan golongan berumur bawah 30 tahun yang mencari peluang kerja yang lebih baik.
"Saya jangka pengunjung yang hadir akan melebihi dari sasaran awal kita sebab sambutan sangat baik dan untuk hari kedua pada hari ini pun saya rasa kira-kira 30,000 pengunjung hadir," katanya kepada Bernama.
Nazir Hussin berkata karnival itu merupakan penutup bagi tahun ini dan seterusnya akan dianjurkan pada Januari tahun depan yang mana berkemungkinan akan bermula di negeri Pantai Timur.
Sementara itu, Eksekutif Sumber Manusia Westports Malaysia Sdn Bhd, Suzy Philip berkata karnival tahun ini merupakan penglibatan tahun kedua syarikat itu yang menarik kira-kira 200 pemohon mengisi kekosongan jawatan pemandu prime mover dan kerani stor.
Suzy berkata, sejak tahun lepas menyertai karnival itu kira-kira 1,000 pemohon telah mencuba nasib yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Daripada jumlah ini pemohon yang berjaya mendapat kerja seramai hampir 300 orang. Bagaimanapun ada segelintir pemohon bersikap suka melompat kerja," katanya.
Mengulas mengenai kelayakan untuk memohon dua pekerjaan itu pakej yang mereka perlukan ialah berperwatakan menarik, memiliki sijil SPM, mempunyai lesen memandu dan sanggup bekerja keras.
Di samping itu Suzy berkata Westports turut menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar lepasan ijazah seperti Pegawai Kanan Kejuruteraan Elektrik dan Kejuruteraan Penyelenggaraan.
Pegawai Pentadbiran Sumber Manusia Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Noor Hidayu Mat Ali pula berkata semasa menyertai karnival kerjaya itu pada tahun lepas, kira-kira 1,000 permohonan diisi.
Bagaimanapun kebanyakan pemohon tidak mencapai tahap kelayakan yang ditetapkan KWSP antaranya gagal mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.00 ke atas.
"Berdasarkan resume yang diterima, kita dapati pemohon memiliki CGPA bawah 3.00," katanya.
Noor Hidayu berharap pada karnival kerjaya itu lebih ramai pemohon bukan bumiputera yang mengisi kekosongan jawatan di KWSP terutamanya Eksekutif Pelaburan.
Dalam pada itu Noor Hidayu turut melahirkan rasa kecewa dengan kebanyakan calon temu duga yang sebelum ini tidak menunjukkan minat yang mendalam terhadap jawatan yang dipohon kerana dilihat bersikap sambil lewa.
"Calon yang datang tidak buat persediaan seperti tidak mendapatkan maklumat tentang KWSP kerana bila ditanya apa itu KWSP, mereka tidak tahu secara lebih mendalam," katanya.
Sementara itu Pengurus Kanan Bahagian Sumber Manusia Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Suhanadzatul Nadzreen Ismail berkata, beliau mendapati rata-rata pemohon kerja generasi muda kini kurang mempunyai kemahiran berkomunikasi.
Katanya, sepanjang pemerhatiannya, kebanyakan mereka tidak berkeupayaan untuk berdikari kerana pada sesi temu duga mereka ditemani ibu dan bapa.
Sehubungan itu Suhanadzatul Nadzreen berharap pemohon perlu sentiasa meningkatkan kemahiran komunikasi dan juga penulisan serta perlu lebih berdikari agar pemohon berjaya untuk mendapatkan pekerjaan.
Mengulas mengenai kelayakan untuk memohon jawatan tetap di syarikat insurans itu beliau berkata, pihaknya menekankan aspek calon yang berpengalaman berbanding kelayakan akademik.
No comments:
Post a Comment