Sunday 11 November 2012

ISU AIR SELANGOR :POLITIK PUNYA PASAL,KESUSAHAN RAKYAT DI TOLAK KETEPI


Baru-baru ini kita ‘dikejutkan’ dengan kenyataan kerajaan Selangor yang berhasrat untuk mengambilalih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) selepas mendakwa syarikat berkenaan tidak memberikan perkhidmatan memuaskan kepada rakyat, menarik juga bunyinya itu.

Alasannya mudah.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa Syabas adalah PUNCA berlakunya kekurangan bekalan air terawat di Lembah Klang.

Katanya, ketidakmampuan Syabas itu dilihat menerusi tunggakan syarikat itu kepada operator rawatan air sebanyak RM2.8 bilion sehingga April tahun ini, selain gagal menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) sebanyak 20 peratus mengikut perjanjian konsesi.

Dakwa beliau, berdasarkan laporan audit yang dilakukan oleh kerajaan negeri, Syabas juga tidak melaksanakan perbelanjaan modal (Capex) mereka dengan baik.

Persoalannya, mampukah kerajaan negeri memberi jaminan sekiranya mereka mengambil alih tugas-tugas Syabas ini, rakyat di negeri Selangor akan dapat ‘lari’ daripada masalah bekalan air?

Kita bercakap mengenai fakta, bukan sengaja hendak mencari kelemahan kerajaan negeri.

Perkhidmatan kutipan sampah sebagai contoh, kerajaan negeri sendiri tidak mampu untuk menguruskan kerja mengutip sampah dengan baik apabila khidmat itu diambil alih tahun lepas.

Mereka siap belanja RM200 juta untuk membel lori kompaktor, tetapi pengurusan mengutip sampah menjadi lebih teruk daripada dahulu!

Khalid juga menyatakan yang krisis air tidak meruncing seperti yang disangka, tetapi hakikatnya rakyat mula mengeluh kerana terpaksa berhadapan dengan masalah bekalan yang sering ‘putus’ (silat lihat klip dibawah)

Lebih menggelikan hati, Khalid mendakwa tujuh empangan negeri di seluruh Selangor mempunyai kapasiti air yang cukup, malah sampai ke peringkat melimpah!

Hakikatnya, telah berlaku penurunan paras air yang mendadak sejak bulan lalu di beberapa kolam takungan sehingga ada yang mencapai negatif berbanding jumlah simpanan yang sepatutnya iaitu minimum 20 peratus.

Keadaan itu berlaku kerana tekanan air rendah dan ada tempat tidak mendapat bekalan terutama di daerah Petaling, Klang, Kuala Lumpur dan Hulu Langat melibatkan seramai kira-kira 1 juta pengguna.

Keadaan tersebut menyebabkan loji rawatan air beroperasi melebihi tahap maksimum sekali gus melepasi kemampuan kapasiti reka bentuk ekoran tekanan permintaan yang mendadak, sedangkan kolam simpanan perlu mempunyai bekalan yang mencukupi bagi menghadapi kemungkinan musim kemarau, masalah pencemaran atau gangguan sistem bekalan air.

Khalid kena ingat, pada masa depan apabila Lembah Klang menjadi lebih maju, keperluan air terawat terus meningkat selaras dengan penambahan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut.

Sepatutnya Khalid dan kerajaan negeri Selangor kena bersyukur, ini kerana bagi mengatasi masalah bekalan air yang dijangka meruncing menjelang tahun 2014, kerajaan Persekutuan telah pun bersetuju untuk membina Projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 iaitu projek pemindahan air dari Pahang ke Selangor melalui terowong sejauh 44.5 kilometer.

Malangnya, setelah mengadakan lima kali pertemuan dengan pihak kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan berasa hampa kerana tiada jalan penyelesaian ditemui.

Bekalan air mentah semakin berkurangan daripada kapasiti maksimum di setiap empangan.

Ini menunjukkan bekalan air mentah cukup genting, justeru, air yang dibawa dari Pahang amat diperlukan.

Malangnya, dalam hal ini, Khalid sering berdolak-dalik hingga menyebabkan kerja-kerja pembinaan empangan Langat 2 di Hulu Langat tertangguh sehingga kini.

Tindakan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor itu mengemukakan cadangan lain termasuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (NWR) bukan jalan penyelesaian segera kerana proses penggantian paip baru akan mengambil masa yang lebih lama sedangkan krisis air itu perlu ditangani secepat mungkin.

Sebab itu tidak hairan sekiranya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘menegur’ sikap Khalid itu.

Muhyiddin dalam kenyataannya sebelum ini menggesa Khalid bertindak secara praktikal dan pragmatik dalam menangani krisis air di negeri itu demi kepentingan rakyat.

“Sekiranya beliau benar-benar memikirkan kebajikan rakyat, projek pembinaan tersebut harus disegerakan demi kebaikan dan kemudahan penduduk.

“Jika terdapat isu-isu lain yang mahu diselesaikannya, ia boleh dibincang kemudian tetapi projek ini harus disegerakan,” katanya diminta mengulas kenyataan Abdul Khalid yang meletakkan syarat supaya Kerajaan Pusat berjanji tidak menaikkan tarif air dan mengisytiharkan projek bernilai RM10.5 bilion itu sebagai aset kerajaan negeri.

Kalau benar, Khalid dan kerajaan Pakatan Rakyat pentingkan nasib dan kebajikan rakyat, ‘ketepikanlah’ dulu dendam kesumat peribadi dan politik yang tidak berkesudahan….jangan sampai nanti beliau pergi kerja pun terpaksa mandi kat surau, itupun kalau tangki surau masih ada air lebihlah kan….

No comments:

Post a Comment