Thursday 4 October 2012

TIADA KES NAIK 200% -Tindakan Usik Meter Lama Menyebabkan kos eletrik meningkat selepas TNB laksana Penggantian - Noriah Kasnon -


TINDAKAN pengguna melakukan usikan terhadap meter menyebabkan ada kalangan mereka terpaksa menanggung kos bil terlalu tinggi dan mendadak ketika usaha penukaran meter lama kepada baru dilakukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Noriah Kasnon berkata, daripada 3,100 kes aduan diterima, kebanyakan penguna terbabit dikesan melakukan usikan terhadap meter hingga kadar bil meningkat mendadak.

“Setakat ini, penggantian meter lama dilakukan TNB secara berkala daripada 2011 hingga sekarang. Lebih 1.2 juta pengguna sudah menerima proses penukaran meter lama.

“Daripada jumlah itu, kebanyakan aduan membabitkan bil tinggi dan daripada 3,100 kes kebanyakannya bukan disebabkan peningkatan bil kerana penukaran meter lama kepada baru, tetapi usikan meter,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan mengkaji berapa peratusan kenaikan kos kegunaan elektrik selepas penukaran meter baru.

Menurutnya, penukaran meter elektrik baru menyebabkan peningkatan kos isi rumah kerana meningkat 200 peratus dan lebih.

Wee juga ingin mengetahui jumlah pengguna yang masih mendapat rebat RM20 sedangkan kesan caj kenaikan elektrik sejak penukaran meter menyebabkan pengguna berdepan bil lebih tinggi.

Menjawab soalan itu, Noriah berkata, sepatutnya mereka yang menggunakan tenaga tinggi dan ada usikan membayar jumlah bil rendah.

“Apabila pasang meter baru, baru (TNB) dapat mengesan usikan berlaku dan bil naik, tetapi kadar biasa tidak begitu mendadak (jika tidak ada usikan meter),” katanya.

Menurutnya, sebenarnya itilah tertentu bagi peningkatan normal selepas pengantian meter lama dan baru sebenarnya tiada istilah tertentu, asalkan tidak melampaui munasabah kerana ketidaktepatan meter lama, jangka hayat dan pergerakan lambat.

“Kami tidak pernah menerima kenaikan kes 200 peratus. Jika ada, saya alu-alukan semua untuk memanjangkan kepada kementerian dan kedai TNB berhampiran.

“Rebat RM20 kepada pengguna elektrik, sama ada kekal jumlah dan daripada pemerhatian saya, Suruhanjaya tenaga serta TNB tidak jauh perubahan, walaupun melakukan penggantian meter. “Sejak tahun lalu hingga kini, 800,000 hingga sejuta pengguna dalam tempoh sebulan dapat rebat,” katanya.

Terdahulu dalam soalan utamanya, Wee meminta kementerian berkenaan menyatakan sejauh manakah penjelasan mengenai keperluan pertukaran meter elektrik lama diusahakan memandangkan perspektif kebanyakkan orang ramai adalah negatif.

Dalam jawapan ringkasnya, Noriah berkata, program penukaran meter TNB dibuat berdasarkan tiga sebab iaitu meter lama yang sudah melebihi hayat, meter mengalami kerosakan dan diusik.

“Pihak TNB sedang menjalankan program penggantian meter lama jenis elektro mekanikal yang sudah melebihi tempoh 15 tahun kepada meter jenis digital atau elektronik baru.

“Bagi memastikan kejituan bacaan bagi meter baru, ujian kejituan sudah dilaksanakan makmal bebas ke atas meter jenis elektronik yang mendapat akreditasi berdasarkan MS IS0/IEC 17025: 2005 yang dikeluarkan Jabatan Standard Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment