28 lagi taska Permata Kemas akan dibuka
KUALA SELANGOR 4 Okt. - Sebanyak 28 buah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Permata Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan dibuka tahun depan menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 382 buah.
Penaung Program Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pembukaan taska itu bertepatan dengan matlamat utama Permata Negara memberi peluang kepada setiap anak dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah mendapatkan pendidikan awal berkualiti.
Menurut isteri Perdana Menteri, langkah tersebut juga selari dengan prinsip tidak ada seorang pun kanak-kanak di negara yang terpinggir daripada mendapat pendidikan awal.
"Apa yang membanggakan, hasil kajian mendapati perkembangan emosi, sahsiah dan sosial kanak-kanak Permata amat menyerlah dan lebih baik berbanding kanak-kanak lain seusia mereka," katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Ramah Mesra Kanak-Kanak Tabika dan Taska Permata Kemas di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Kuala Selangor, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Rosmah turut meluangkan masa beramah mesra bersama 600 pelajar tabika dan taska Permata Kemas dari seluruh negeri ini.
Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Datuk Shuaib; Timbalan Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, Datuk Noriah Kasnon; Ketua Pengarah Kemas, Hassan Mohd. Amin dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO negeri, Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah.
Setakat ini, sebanyak 354 Taska Permata Kemas dibuka dan memanfaatkan seramai 22,423 kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun.
Rosmah berkata, kanak-kanak Permata juga memiliki kemahiran komunikasi dan literasi amat baik terutamanya di segi perkembangan bahasa.
Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, kerajaan memperuntuk RM53 juta kepada Kemas untuk meningkatkan kualiti premis dan kemudahan pembelajaran prasekolah.
Menurut beliau, peruntukan itu akan digunakan untuk membaik pulih bangunan sedia ada, membeli perabot serta alat pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan kanak-kanak dapat belajar dalam keadaan yang kondusif, selamat dan selesa.
Katanya, pelaburan untuk pendidikan awal berkualiti itu diharapkan dapat memberi pulangan yang tinggi kepada kerajaan sama ada di segi perkembangan ekonomi atau sosial dalam kehidupan masyarakat.
No comments:
Post a Comment