Tuesday 23 October 2012

MB SELANGOR JENIS MANDI SEMINGGU SEKALI TEKNOLOGI MEMBRAN TAK PRAKTIKAL


HULU LANGAT 22 Okt. - Krisis bekalan air yang mulai dirasai sekarang merupakan soal hidup dan mati penduduk Lembah Klang yang perlu ditangani segera dengan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyelesaian kepada masalah itu bukannya menerusi teknologi membran yang dicadangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid kerana teknologi tersebut tidak praktikal dan kosnya lebih tinggi.

Beliau berkata, ini kerana kapasiti air di Empangan Sungai Selangor di Kuala Kubu Baru kini hanya tinggal 390 juta liter sehari berbanding kapasiti penuh 2,000 juta liter dan jumlah tersebut tidak mampu untuk menampung keperluan penduduk di Lembah Klang jika paras air berterusan merosot.

Menurutnya, untuk mengatasi masalah berkenaan kerajaan Pusat baru-baru ini sudah meluluskan peruntukan RM220 juta untuk tiga bentuk projek bagi memproses tambahan 390 juta liter air sehari bagi keperluan penduduk di Lembah Klang.

"Teknologi itu bukan penyelesaian. Saya sudah mendapatkan pendapat pakar dan dimaklumkan teknologi ini langkah yang tidak praktikal, kosnya juga akan bertambah. Teknologi membran juga tidak mampu meningkatkan bekalan air.

"Apa yang perlu dilakukan adalah meneruskan projek pembangunan Langat 2 seperti dirancang kerana bekalan air yang ada sekarang tidak mampu menampung keperluan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang diiringi Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar melawat terowong saluran air sepanjang 45 kilometer yang akan menyalurkan air dari Pahang serta tapak Loji Langat 2.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Teoh Yen Hua.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, teknologi membran jika diperkenalkan akan menelan kos sebanyak RM95 juta untuk sebuah loji dan Selangor mempunyai 34 loji rawatan air menjadikan kos keseluruhan berjumlah lebih RM3.2 bilion.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Air Selangor hairan dan tidak faham keperluan teknologi membran sedangkan kualiti air di negara ini sudah diiktiraf badan antarabangsa.

"Pakar-pakar kejuruteraan air sudah memberitahu cadangan itu bukan penyelesaian. Pendirian kami juga sama. Jadi, saya hairan mengapa kerajaan PKR Selangor mahu membincangkan perkara sebegitu.

"Saya tidak tahu apakah Abdul Khalid mahu mempolitikkan isu air atau mahu mengalih daripada soal pokok iaitu keperluan Loji Rawatan Air Langat 2, tetapi kerajaan Pusat melihat masalah ini dari segi keperluan rakyat, bukannya politik," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kontrak pembinaan Langat 2 telah dikeluarkan dan sebanyak 20 syarikat sudah mengambil borang tawaran dengan keputusan akhir akan dibuat selewat-lewatnya Jun 2013.

Katanya, jika semua berjalan lancar dan projek pembinaan boleh dimulakan pada 2013, Langat 2 yang sudah terlewat selama 589 hari bekerja dijangka siap antara 2016 hingga 2017 iaitu dalam tempoh kritikal.-bernama-



No comments:

Post a Comment