Friday 19 October 2012

Laporan kewangan: AJK cabang Khalid mahu lapor SPRM

Seorang ahli jawatankuasa PKR cabang Kuala Selangor Mazli Saring merancang untuk membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung status laporan kewangan cabang tersebut.
Mazli berkata, laporan tahunan kewangan bagi tahun 2010 untuk cabang tersebut masih tidak dibentangkan dalam mesyuarat agung tahunannya yang berlangsung hari ini.

"(Dalam mesyuarat 2011) laporan ditunda hingga tahun hadapan (2012) sebab ada laporan yang tak betul dan ketua cabang janji untuk buat audit bebas.

"Tapi tahun lepas pun tak buat. Sekarang laporan tahunan dua tahun lepas nak dibawa ke 2013 pula," katanya ketika dihubungi selepas mesyuarat cabang tersebut hari ini.

Beliau mendakwa, pengerusi tetap cabang berkenaan meneruskan persidangan hari ini walaupun bantahan dibuat berhubung isu berkenaan.

"Saya akan bincang dengan ahli-ahli lain dan nak buat laporan polis, SPRM dan akan bawa ke peringkat pusat," katanya lagi.

Mazli juga mendakwa, cabang yang diketuai Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu juga tidak berlangsung mengikut perlembagaan parti apabila tidak menghantar notis jemputan kepada ahlinya.

Katanya, perlembagaan parti menetapkan supaya, notis jemputan diberi 30 hari sebelum mesyuarat agung diadakan.


"Tak ada surat (jemputan dihantar). Sepatutnya perlu pos jemputan pada semua anggota 30 hari sebelum. (Mesyuarat) tak ikut perlembagaan. Tak ada notis. Saya pun dapat (jemputan) daripada SMS sahaja.

"Notis pula diberi kepada ahli yang tertentu sahaja," katanya lagi.

Isu berhubung penyata kira-kira itu dilaporkan mencetus kekecohan ketika mesyuarat agung tahunan cabang itu berlangsung pada Oktober tahun lalu.

Perkara itu timbul apabila beberapa ahli mempersoalkan mengenai pengesahan tanda tangan dalam dokumen tersebut.

Ahli yang mempersoalkan perkara itu mendakwa, penyata kira-kira itu disemak oleh individu yang tidak dilantik sebagai ahli pada mesyuarat lalu.

Mazli pada 2010 mencabar Khalid untuk jawatan ketua cabang Kuala Selangor, namun tewas apabila hanya berjaya meraih 122 undi berbanding 722 undi yang diterima menteri besar Selangor itu

No comments:

Post a Comment