Tuesday 16 October 2012

Krisis air Selangor: Wanita, kanak-kanak paling terjejas-SW1M

Pertubuhan Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) kesal dengan sikap kerajaan Selangor, yang masih tidak mengambil langkah segera menangani masalah bekalan air di negeri itu, yang menyusahkan rakyat terutama wanita dan kanak-kanak.

Pengerusi SW1M Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin berkata apabila bekalan air terputus, golongan wanita terutama suri rumah yang menerima beban kerana mereka terpaksa berulang-alik mengangkut air dari lori tangki ke rumah dengan dibantu anak-anak.

"Bayangkan kesusahan yang ditanggung oleh mereka yang tinggal di rumah flet atau pangsapuri untuk berulang-alik mengangkut air," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kerajaan Selangor sepatutnya memandang serius masalah ini kerana kaum wanita, terutama suri rumah, memerlukan air untuk aktiviti harian seperti membasuh serta memasak, dan hak mereka untuk mendapat kemudahan asas itu tidak harus dinafikan.

Sharifah Zohra Jabeen juga hairan dengan sikap kerajaan Selangor yang berdolak-dalik serta mempolitikkan isu air sehingga berlarutan tanpa sebarang jalan penyelesaian.

"Adakah dengan pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) boleh menyelesaikan masalah ini... Tiada apapun yang dilakukan mereka, namun wanita dan kanak-kanak berterusan menjadi mangsa apabila berlaku krisis air," katanya.

SW1M ditubuh pada 16 Mei bagi memupuk perpaduan di kalangan wanita Malaysia dan mereka yang berminat boleh menghubungi talian 03-6188 4491 atau e-mel kepada SuaraSWIM@yahoo.com.

No comments:

Post a Comment