Sunday 7 October 2012

NELAYAN MENDERITA SUNGAI TERCEMAR KERAJAAN NEGERI BUAT TAK LAYAN MASALAH MEREKA


KUALA SELANGOR – Kira-kira 400 nelayan di Bagan Sungai Buloh, Jeram di sini kecewa apabila hasil pendapatan mereka yang sebelum ini mencecah RM3,000 sebulan kini merosot hampir 50 peratus akibat pembuangan sisa kumbahan di sungai tempat mereka mencari rezeki.

Lebih malang, sebilangan nelayan yang mengusahakan ternakan kerang mendakwa mengalami kerugian besar apabila modal dilabur kira-kira RM100,000 seorang masih tidak membawa pulangan. Hal tersebut berlaku kerana hasil kerang yang diperoleh berkurangan daripada 10 tong kepada dua tong ketika ini.

Berikutan keadaan yang berlarutan sejak hampir lima tahun itu, kebanyakan mereka terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menyara kehidupan.

Seorang nelayan, Jamaluddin Mohd. Isa, 43, berkata, walaupun pelbagai aduan sudah dibuat kepada pihak bertanggungjawab termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) namun sungai yang dikenali sebagai Sungai Buloh itu masih tercemar.
"Saya kecewa dengan wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang datang banyak kali tetapi sekadar untuk bermesyuarat dan menasihatkan kami agar menjaga kebersihan sungai.

"Lebih teruk, ketika mahu mengambil sampel air sungai ini, wakil tersebut mengarahkan kami (nelayan) berbuat demikian sedangkan itu merupakan tugasnya. Dia juga meminta kami membuat siasatan sendiri untuk mengenal pasti punca pencemaran tersebut," dakwanya.

Selain itu, Jamaluddin yang melabur sebanyak RM100,000 dalam projek ternakan kerang di situ dua tahun lalu terpaksa menanggung kerugian kerana tidak mendapat keuntungan.

"Saya menggunakan wang simpanan sendiri dan meminjam daripada adik-beradik kerana yakin projek ternakan ini akan berjaya memandangkan kerang di kawasan ini terkenal dengan kualitinya.

"Saiz kerang di sini semakin mengecil. Dahulu ia boleh membesar sehingga 16 sentimeter (cm) tetapi kini hanya 10cm sahaja. Kerang ternakan kami juga banyak yang mati akibat terkena air tercemar," katanya dengan nada kesal.



No comments:

Post a Comment