Wednesday 31 October 2012

GOLONGAN NELAYAN DAN PETANI TERUS TERBELA DI BAWAH BN PM LAHIRKAN PERHARGAAN


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat menghargai pemimpin yang sentiasa amanah dengan tanggungjawab yang diberikan serta menepati janji.
Beliau berkata pemimpin yang tidak pernah mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan wajib disokong oleh rakyat demi kesejahteraan negara.

“Kita (pemimpin yang) tidak pernah bercakap bohong, kita bercakap benar, jadi kita mesti faham bahawa apa yang kita lakukan itu memang menepati kehendak agama kita, menepati hadis Rasulullah SAW.

“Ini amanah yang kita galas, tidak pernah khianati dan setiap janji kepada rakyat kita tepati,” katanya dalam ucapan pada majlis Perhimpunan Peladang, Penternak dan Nelayan negeri Kedah di Pantai Merdeka di sini hari ini.
Kira-kira 15,000 orang menghadiri majlis anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu.

Yang turut hadir pada perhimpunan itu ialah ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Johari Baharom dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah.

Selain itu, Najib menegaskan tugas mengendalikan urusan sesebuah kerajaan bukan sesuatu yang mudah, bukan semata-mata ikut suka hati sendiri atau sekadar menyedapkan halwa telinga pengundi.

“Sebab itulah kita sebagai sebuah negara yang semakin hari semakin berjaya, ada perancangan yang jelas dan berjuang melakukan perubahan yang besar. Untuk mencapai sebuah negara maju, kita perlu kepada kemajuan yang seimbang dan tidak boleh meminggirkan mana-mana golongan.

“Kalau kita dengar pembangkang hendak mansuhkan hutang, hapuskan tol, naikkan gaji minimum, kurangkan harga minyak…semuanya sekali boleh sebabkan ekonomi kita runtuh dan jika itu berlaku, hasil kerajaan juga akan merudum,” katanya.
Najib memberi contoh mengikut Islam “kalau meninggal dunia wajib lunaskan hutang, kalau kita tak sempat, waris kita kena selesaikan. Kalau mati tanpa melunaskan hutang, berat pada roh kita nanti…seksa nanti, tapi pembangkang senang-senang kata hapuskan hutang, itu bukan ajaran Islam”. katanya.

Lebuh raya sungai

Menyentuh permintaan Pertubuhan Peladang Kedah supaya dilaksanakan projek lebuh raya sungai dari Empangan Pedu di bahagian utara Kedah hingga ke daerah Kuala Muda di bahagian selatan, perdana menteri berkata kerajaan tiada masalah melaksanakannya.
“Kita (kerajaan) boleh bagi…tapi kena bagi (Barisan Nasional) menang jugalah (pilihan raya umum ke-13). InsyaAllah masalah-masalah yang dihadapi golongan petani, penternak dan nelayan yang disebutkan, akan diambil perhatian,” katanya.
Projek lebuh raya sungai itu dicadangkan bertujuan mengalihkan aliran air sungai yang bengkak-bengkok di beberapa daerah di Kedah, seperti di Pendang, bagi mengelakkan berlaku kerosakan tanaman padi akibat air sungai masuk ke kawasan sawah padi.

Sebelum ini, apabila tiba musim tengkujuh banyak padi yang rosak dan musnah, kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar hingga jutaan ringgit untuk diberikan kepada petani sebagai ganti rugi.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kerajaan persekutuan di bawah beberapa insentif seperti insentif pengeluaran beras, insentif peningkatan hasil, elaun sara hidup nelayan dan insentif tangkapan ikan negeri kepada petani, penternak dan nelayan.

Najib menyifatkan golongan petani, penternak dan nelayan sebagai wira yang tidak didendang kerana usaha dan perjuangan mereka adalah di belakang tabir serta tidak menonjol.

“Golongan ini mempunyai jasa yang sangat besar kepada kita, kenapa saya kata bahawa golongan ini wira yang tidak didendang…yang sebenarnya golongan petani, penternak dan nelayan ini mempunyai jasa yang begitu besar kepada negara.

“Mereka memberi sumbangan yang cukup besar kerana nasi yang kita makan saban hari adalah hasil daripada daripada titik peluh petani, ikan yang dijadikan lauk adalah kerana para nelayan sanggup meniti gelombang, panas matahari terik samudera untuk beri bekalan ikan kepada kita semua, begitu juga ayam dan daging yang kita makan buah dan sayur sebagainya kerana titik peluh serta jasa dan kesungguhan mereka,” katanya.

Oleh itu, katanya, golongan petani, penternak dan nelayan sentiasa mendapat perhatian kerajaan dan kerana itu di bawah Belanjawan 2013, sebanyak RM5.8 bilion diperuntukan kepada Kementerian Pertanian dan Asas Tani bagi pembangunan ekonomi golongan ini.

No comments:

Post a Comment