Tuesday 30 January 2018

Kemelut bola sepak Selangor penuh kontroversi


“Merah kuning lambang kebanggaan,
Selangor merancang kejayaan,
Gemuruh sorakan menggegarkan,
Cabaran disambut dengan kesungguhan,
Kecemerlangan, kecemerlangan, kecemerlangan jadi kenyataan.”

Ramai yang sudah sedia maklum dengan kemelut bola sepak Selangor. Laksana satu sumpahan yang dahsyat, kegembiraan menggapai Misi 33 pada kempen Piala Malaysia 2015; bertukar menjadi mimpi ngeri buat penyokong pasukan Merah Kuning.

Sejak dari era Stadium Merdeka lagi, pasukan ini dikenali dengan sejarah gemilang dan nama besar – daripada Pengurus sampai lah kepada penjaga golnya. Allahyarham Dato’ Seri Haji Harun Idris; Dato’ Aini Taib; Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat; Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari; Azman Adnan; Mendiang R. Arumugam; Datuk Santokh Singh; Datuk Soh Chin Aun dan Amri Yahyah adalah antara tokoh yang sinonim dengan nama pasukan ini.

Asalnya, idea untuk melakukan pembaharuan dan menggantikan pucuk pimpinan FAS – bukanlah sesuatu yang baru. Ianya sekadar tenggelam timbul dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, tidak lama sebelum Selangor FA muncul juara Piala Malaysia 2015, cakap-cakap dan gerakan untuk menswastakan pasukan ini tampak lebih agresif dan kuat.

Apa lagi Selangor kemarau piala yang agak panjang sebelum menjulang trofi tertua di Asia pada tahun 2015 itu.
Turun-naik prestasi Merah-Kuning; serta kejayaan transformasi pasukan lain dilihat memberikan ruang untuk sebahagian penyokong serta kepimpinan semasa FAS ketika itu, untuk bergerak ke arah penswastaan.

Sejarah sudah tertulis; dan kita boleh baca pelbagai versi – daripada kedua-dua belah pihak; berkenaan punca serta faktor konflik ini berlarutan dan membarah.

Siapa yang tak sukakan pasukan yang disokong memiliki status kelab yang diuruskan secara profesional? Namun, barang diingat – profesionalisme hadir bersama tanggungjawab yang besar. Peraturan dan undang-undang, tidak seharusnya digubal dan dilaksanakan secara terpilih, apalagi dilanggar sesuka hati.

Sudah tentu, perjalanan ke arah penswastaan-profesionalisme Liga-M masih jauh, tapi ianya tidak mustahil. Semoga kita tidak terus tersandung dengan isu gaji, penajaan, rasuah, stadium dan lain-lain lagi. Pelan tindakan terhadap polisi yang dibuat ke atas pengurusan FAS, hendaklah dilaksanakan secara seimbang, demi kemajuan bola sepak di negeri Selangor.

Penyokong, tanpa mengira apa juga status pekerjaan dan latar keturunan mereka, seharusnya diberikan ruang yang lebih untuk menyuarakan pandangan mereka. Dalam kes Selangor ini, adalah penting untuk semua pihak sedar – berkenaan perlunya pihak Kerajaan Negeri, pengurusan serta para pemain; lebih menghargai para penyokong – yang seharusnya menjadi nadi dan jiwa sebenar pasukan.

Para penyokong dan peminat pula, perlulah lebih bersikap adil dalam memberikan kritikan. Setiap kritikan seharusnya juga didatangkan bersama cadangan kaedah penyelesaian alternatif; terhadap permasalahan yang membelenggu sesebuah skuad itu.




Barang diingat, pembangunan tunas, akademi dan bola sepak negeri bukan sahaja membabitkan Kementerian Belia dan Sukan, FAM atau persatuan negeri; tetapi juga pada peringkat sekolah serta dorongan ibu bapa. Semua pihak perlu terlibat dan memainkan peranan. Jadi, ia juga kembali kepada isu mentaliti para peminat dan penyokong sendiri.

Berapa ramai peminat yang benar-benar serius membantu memperkasakan ekonomi pasukan yang mereka sokong? Berapa ramai yang turun ke stadium, apabila prestasi pasukan mereka tidak berada pada tahap yang terbaik? Berapa jumlah dan peratusan penyokong yang membeli jersi serta ‘merchandise’ yang asli dan bukan tiruan; dan membeli pas bermusim?

Berkenaan PKNS FC – sekiranya benar mahu menjadikan ia sebagai sebuah kelab profesional, maka pengurusan dan pemasarannya juga perlu seiring dengan hasrat tersebut. Cabaran terbesar untuk sesebuah pasukan yang bertaraf profesional pastinya adalah dana-kewangan yang mapan dan kukuh. Maka, pemasaran adalah aspek yang sangat signifikan.

Jadi, model perniagaan yang menyokong penaja tanpa mengkesampingkan para penyokong, adalah sangat utama. Kerana itu ada ‘kelab plastik’ yang meskipun mempunyai dana yang besar, tidak mampu untuk ‘survive’ dalam pertarungan liga yang mencabar.

Apa lagi ada sesetengah pasukan yang terpaksa membayar elaun serta menghadiahkan tiket percuma bagi memastikan ada yang hadir ke stadium, menyokong pasukan mereka. ‘Sense of belonging’ – rasa keterikatan jiwa antara penyokong dan kelab adalah sangat perlu. Hal yang demikian, pihak pengurusan perlu memastikan pandangan para penyokong setia, didengari.

Penting untuk disebut bahawa Selangor sangat memerlukan sebuah galeri atau muzium yang mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat. Kita ada ramai pengumpul jersi serta barangan memorabilia yang pastinya tidak segan serta lokek untuk membuat pameran; buat tatapan semua.

Galeri ini boleh dikenakan bayaran yang minimum, bagi membantu ekonomi pasukan serta untuk tujuan pengurusan galeri tersebut. Selain pameran, di galeri ini juga boleh dijadikan pusat jualan barangan rasmi pasukan. Kerjasama ahli gabungan, pertandingan komuniti, badan awam dan swasta perlu diperkasakan lagi.

Isu bola sepak Selangor ini tidak seharusnya manjadi permainan isu politik sempit, apalagi kini mengheret pihak istana Selangor, FAM, Menteri Besar, FMLLP dan ramai lagi.

Ada yang secara mudah mencadangkan agar FAS membina sebuah stadium baru, tanpa memikirkan soal kos yang tinggi serta faktor akar sejarah. Seperti yang kita maklum, Stadium Shah Alam dibina dengan matlamat untuk menjadi satu mercu tanda kecemerlangan sukan negara amnya dan negeri Selangor.

Sejak sepak mula Kejohanan Jemputan Mitsubishi Shah Alam ketika perasmian arena tersebut pada 16 Julai 1994, sehinggalah perlawanan sulung liga menentang Perlis FA pada 30 Julai 1994, stadium ini sudah sebati dengan Gergasi Merah. Menafikan sejarah ini adalah kerja orang gila yang tidak boleh diterima dek akal yang waras.

Malangnya, stadium yang dahulunya menjadi kebanggaan rakyat Selangor, kini dilihat semakin usang dan kusam. Keadaan tandas dan surau juga agak uzur dan menyedihkan.

Hal ini seharusnya tidak berlegar seputar isu politik – pemimpin parti mana yang betul atau salah. Seharusnya, ia berpaksikan kepada dasar, peraturan, statut serta hala tuju pasukan Selangor FA.

Sekiranya benar wujud penyelewengan atau salah guna kuasa oleh ‘parasit’, ‘lintah tua’ atau mana-mana pihak yang dituduh, maka buatlah laporan serta aduan rasmi kepada pihak yang berkenaan. Bukan dengan menghukum pasukan bola sepak Selangor secara pukul rata, yang akhirnya mendatangkan kekecewaan serta kemarahan yang tidak perlu, daripada penyokong setia Gergasi Merah.

Percayalah, mengizinkan Selangor menyewa Stadium Shah Alam tidak bermakna mana-mana pihak itu menang; waima dari segi persepsi. Sebaliknya, jiwa besar yang ditunjukkan oleh kedua-dua belah pihak yang akan memenangi dan menggembirakan hati para penyokong setia, yang mahu menyaksikan pasukan kebanggaan mereka beraksi secara kompetitif.

Cuba saja lihat contoh di Kelantan, wujud persefahaman dan sifat hormat dalam menguruskan bola sepak di negeri tersebut. Ketepikan segketa lama, biarlah anak muda hari ini dan masa depan merasai nikmat kemajuan bola sepak Selangor. Kerana itu semua pihak perlu terbuka untuk meja perundingan.

Tindakan YB Amirudin Shari yang mengadakan pertemuan dengan K. Palanisamy (Naib Presiden FAS) hari ini, sehari sebelum Sidang Media Kelab-kelab Penyokong Selangor di Shah Alam, adalah antara langkah yang perlu. Namun, ia perlu diteruskan dan bukan terhenti di situ sahaja.

Solusi alternatif, kalau bukan penyelesaian tuntas, perlu dicari bagi merungkai kemelut yang semakin membarah. Membenarkan pasukan Selangor menyewa Stadium Shah Alam adalah langkah pertama yang mesti dilaksanakan. Semoga Stadium Shah Alam kembali ke pangkuan ‘tuan rumah’ asalnya – Sang Gergasi Merah.

Forza Selangor!

No comments:

Post a Comment