BARISAN Nasional (BN) Selangor terus menjadikan pendidikan sebagai agenda utama bagi kesejahteraan rakyat. Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar menjanjikan pendidikan percuma untuk semua murid sekolah agama di bawah pentadbiran kerajaan negeri sekiranya BN menang pada pilihan raya akan datang.
BN Selangor begitu cakna dan prihatin terhadap beban yang ditanggung oleh ibu bapa yang menghantar anak mereka di sekolah agama dengan bayaran pendaftaran yang tinggi. Di Selangor, rata-rata ibu bapa dan penjaga murid perlu membayar yuran pendaftaran 2018 mencecah RM450 seorang.
Ini meliputi bayaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), yuran sekolah dan kokurikulum, yuran buku kerja akademik, yuran buku tulis dan yuran buku kerja, sedangkan kadar yuran pendaftaran sekolah rendah agama yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk setahun adalah RM58 di kawasan bandar, RM48 di luar bandar dan RM39 di pinggir bandar.
Bagi sekolah rendah agama integrasi pula, JAIS menetapkan yuran pada kadar RM158 setahun di kawasan bandar, RM134 di luar bandar dan RM112 di pinggir bandar.
Bayaran yuran tinggi
Namun, dengan bebanan bayaran di sekolah kebangsaan, sudah sampai masanya bayaran percuma dilaksanakan jika BN memerintah negeri ini. Menurut Noh, pendidikan percuma untuk sekolah agama itu wajar dilaksanakan memandangkan ketika ini ibu bapa merungut bayaran yuran yang dikenakan tinggi dan membebankan apatah lagi bagi mereka yang menghantar lebih daripada dua atau tiga anak di sekolah berkenaan.
BN bukan sahaja menawarkan bayaran percuma, malah akan menaik taraf prasarana bangunan sekolah dan kemudahan pembelajaran sesuai dengan teknologi terkini. Rata-rata sekolah di Sekolah Rendah Agama (SRA) khususnya di luar bandar perlu diberi perhatian dan masih ketinggalan dengan arus permodenan dan keperluan sebagai institusi pendidikan apatah lagi berkaitan dengan agama Islam.
Pendidikan di SRA sama penting dengan sekolah kebangsaan. Harapan BN Selangor berhasrat mendidik anak Selangor menjadi insan berguna dan berjaya di dunia dan akhirat tanpa ada kekangan dan halangan kewangan dek bayaran yuran yang tinggi.
Menurut beliau: "Saya cukup hairan, pakatan pembangkang bangga dengan simpanan rizab berbilion ringgit, tetapi kebajikan sekolah agama satu pun tak dibantu sedangkan di bawah kuasa kerajaan negeri".
Malah, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kerajaan Pakatan Rakyat ketika itu melaungkan agar wujudkan pendidikan percuma. Namun, sehingga kini Universiti Selangor (UNISEL) misalnya, masih mengenakan bayaran tinggi sedangkan urusan pentadbiran di bawah kerajaan Selangor.
Pendidikan percuma
apabila BN mengutarakan pendidikan percuma di negeri ini, kerajaan Pakatan Rakyat mendakwa usaha ini dicetuskan oleh mereka seperti yang berlaku pada pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau.
Pada masa sama, dianggarkan 1,600 projek perumahan kos rendah dan sederhana seluruh Selangor akan menikmati kemudahan TASKA dan TABIKA percuma sekiranya BN mentadbir semula negeri ini selepas PRU-14.
Janji BN dalam usaha membela rakyat dengan memberi keutamaan di projek perumahan strata (flet) kos rendah dan sederhana bagi membantu pasangan muda dalam kategori B40 meringankan beban menguruskan anak serta membolehkan mereka keluar bekerja dengan tenang.
Justeru, diharapkan agar mewajibkan perumahan flet kos rendah dan sederhana menyediakan ruang untuk kemudahan TASKA dan TABIKA yang akan menggunakan konsep Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan TABIKA Perpaduan yang lebih murah berbanding diusahakan pihak swasta.
Ternyata, BN Selangor terus komited memberi keutamaan dan perhatian terhadap persoalan pendidikan terbaik dalam menghasilkan modal insan berguna. Usaha murni ini sudah tentu disahut baik rakyat Selangor agar dapat mengurangkan beban kos sara hidup dan pada masa sama memastikan anak dapat belajar dengan selasa serta sempurna.
No comments:
Post a Comment