Tuesday 26 December 2017

Sudah sebulan disah berlaku penyelewengan Kenapa Azmin abai saranan Selcat?





Sikap membisu Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap lima saranan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) berkaitan skandal tanah di Kampung Su­ngai Yu, meskipun sudah hampir sebulan disahkan berlakunya penyelewengan, mencetuskan pelbagai persoalan.

Ahli Jawatankuasa Selcat, Datuk Sulaiman Razak berkata, Mohamed Azmin perlu membuktikan kete­lusan pentadbirannya berhubungan skandal di Sungai Yu dengan melaksanakan semua lima saranan Selcat, terutama menggantung proses pemberimilikan tanah sehingga Jawatankuasa Pemilihan yang baharu dilantik selain mengesahkan semula kelayakan para pemohon.


“Mohamed Azmin jangan lupa beliau sendiri berjanji dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini seandainya terbukti berlaku penyelewengan dalam skandal berkenaan, proses pemberian tanah tersebut akan dibatalkan tetapi sehingga kini, saya lihat tiada sebarang tindakan yang menjurus ke arah itu (pembatalan) dibuat oleh kerajaan negeri.

“Persoalannya sekarang di mana ketelusan kerajaan negeri dan Mohamed Azmin? Soal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat semula kes ini, itu isu lain tetapi sebagai Menteri Besar, beliau bertanggungjawab untuk mengambil tindakan seperti disarankan Selcat,”


Wujudnya pelbagai skandal dalam proses pemberian tanah di Kampung Sungai Yu dan antara yang paling pelik adalah bagaimana 18 individu yang nombor kad pengenalan mereka tiada dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh melepasi tapisan kerajaan negeri sehingga diberikan kelulusan memiliki tanah.


Pendedahan berterusan itu kemudiannya memaksa Selcat untuk bersidang dan Pengerusinya, Hannah Yeoh, yang juga Speaker DUN Selangor daripada DAP pada 8 Disember lalu mengakui wujud pelanggaran syarat dalam proses pemilikan tanah tersebut.

Enam hari selepas pengakuan Hannah itu, SPRM seterusnya bertindak membuka semula kertas siasatan dan telah memanggil 26 saksi untuk dirakamkan percakapan termasuk salah seorang daripadanya adalah Exco kerajaan PKR Selangor.


Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang menambah, Mohamed Azmin tidak perlu berdolak-dalik dengan menyalahkan pihak lain khususnya SPRM kerana skandal tersebut jelas berlaku semasa beliau mentadbir Selangor dan seharusnya perkara berkenaan ditangani secara bertanggungjawab, konsisten serta jujur.

“Sekarang rakyat sedang menilai kejujuran Mohamed Azmin kerana beliau sudah berjanji yang menyelesaikannya tetapi mengapa begitu lama tempoh yang diambil untuk membuat keputusan bagi membatalkan semua pemberian tanah berkenaan sebagaimana dijanjikannya ketika sidang DUN,” katanya.

No comments:

Post a Comment