Monday 18 December 2017

ORANG MELAYU DI SELANGOR MESTI PERTAHAN HAK MELAYU DAN ISLAM DALAM PERANG SIBER


Related image



Gerbang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dianggap ibu kepada segala pilihan raya semakin kita hampiri. Parti didominasi oleh orang Melayu yang secara tegas memperjuangkan kelangsungan Islam dan bangsa Melayu tidak boleh leka lagi.


Orang Melayu mesti memiliki mentaliti untuk menang. Ia bukan sekadar konsep dan falsafah tetapi memerlukan semangat, keyakinan dan tindakan. Orang Melayu perlu diingatkan bahawa mereka tidak ada pilihan lain kecuali bersatu, mengukuhkan perjuangan dan mengelakkan perpecahan sesama mereka. Mereka perlu disedarkan PRU-14 yang dihadapi tidak lama lagi akan menjadi penentu kepada kedudukan agama Islam, masa depan orang Melayu dan hak orang Melayu untuk terus dipertahankan.



Mesti ingat, jika kuasa yang dimiliki oleh orang Melayu kini terlepas dari genggaman yang ampuh, walaupun Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 secara jelas meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Kemenangan besar parti Melayu dalam PRU-14 akan menjamin hak istimewa orang Melayu dan pribumi terus dimuliakan serta diperkasakan.



Kemenangan dalam PRU-14 menjadi pemangkin kepada kedudukan sembilan Raja Melayu agar terus didaulatkan. Kedudukan Raja Melayu yang menjadi 'payung' kepada orang Melayu dan ketua agama Islam bagi negeri yang dinaunginya perlu terus dipertahankan. Kini, ada cubaan untuk menghakis peranan Raja Melayu melalui pandangan negatif di alam siber sebagai alat untuk memecah-belah ummah. Tidak mustahil jika orang Melayu tidak lagi memegang tampuk kuasa, peranan Raja Melayu sedikit demi sedikit akan dikurangkan.



Orang Melayu tidak boleh lagi sekadar bertahan dan menerima sahaja segala tohmahan dari berbagai sudut oleh kumpulan pengkhianat yang berusaha untuk melemahkan perpaduan kita melalui alam siber. Jika dibiarkan, kita bimbang lebih ramai rakyat akan terpengaruh dengan fakta tidak benar, songsang dan ramai orang Melayu akan berpegang kepada keyakinan bahawa pendekatan liberal atau pentadbiran politik tanpa berpaksi Islam boleh menjamin kebajikan ummah selepas PRU-14.






Alam siber digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu untuk menyerang tanpa rasa bersalah apa juga perancangan, pelaksanaan, keputusan kerajaan daripada aspek agama, ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan yang dipimpin oleh orang Melayu. Perbezaan pendapat boleh ada tetapi jangan sehingga pihak pendusta memberi fakta palsu dan fitnah di alam siber. Tentera siber ini yang dikenali dengan identiti sebenar atau hanya berselindung dengan nama tertentu bergerak dan beroperasi secara individu atau berkumpulan.



Perlu tindakan tegas



Tentera siber ini bergerak dengan licik dan tindakan mereka ini tidak boleh dipandang remeh. Mereka tidak boleh dibiarkan menyerang dengan fitnah palsu yang sengaja disensasikan. Tindakan tegas mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu dikenakan terhadap mereka tidak bertanggung jawab ini. Fitnah dan tafsiran isu negara dengan mengemukakan fakta palsu, sengaja diselewangkan di alam siber untuk mempengaruhi orang ramai dan memecahkan ummah.



Orang Melayu tidak boleh lagi mengamalkan pendekatan bertahan secara pasif, iaitu hanya sekadar menafikan dan menjawab dengan lesu segala tuduhan palsu serta fitnah yang tidak berasas di alam siber. Generasi muda Melayu perlu menunjukkan semangat kepahlawanan bangsa sebagai hulubalang siber di barisan hadapan untuk menghadapi medan perang siber ini bagi menghadapi PRU-14. Generasi muda Melayu perlu rasa bertanggungjawab untuk mempertahankan maruah orang Melayu agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh orang lain yang ingin mengetepikan hak Bumiputera dan pribumi.



Ada beberapa tumpuan perlu digunakan untuk membalas balik serangan daripada tentera siber yang tidak bertanggung jawab dan tidak pernah rasa bersyukur dengan suasana hidup yang aman di bumi ini. Kita perlu membentuk pasukan khas wira siber yang rasmi dan bersikap adil. Mereka perlu dianggotai oleh pakar dalam kalangan orang Muslim dan Melayu yang menyalurkan kepada ummah maklumat tepat dan adil di alam maya. Ia bagi menangkis segala fitnah, penghinaan, membetulkan fakta salah dalam aspek yang berkaitan Islam, hak Bumiputera, Raja Melayu, pendidikan, ekonomi dan fitnah kepada pemimpin Melayu.



Pasukan hulubalang siber ini perlu berbeza dengan pasukan siber yang sedia ada daripada berbagai parti politik dan kumpulan yang sentiasa berat sebelah, rasis dan tidak boleh dipertanggungjawabkan pada faktanya. Hulubalang siber ini membezakan fakta tulen dan yang direka-reka, mengkaji punca fitnah serta asal usul berita tanpa fakta kukuh dan dikongsi untuk tontonan umum dalam kumpulan blog media yang ditetapkan. Pasukan hulubalang siber ini adalah satu entiti yang sah dari segi undang-undang dan boleh dibawa ke muka pengadilan jika faktanya tidak benar.



Usahawan boleh berperanan dengan menyalurkan infak kepada tabung hulubalang siber ini. Ia bagi memastikan kewangan kukuh dan bagi menjamin kesinambungan peranan pasukan hulubalang siber ini, sekali gus membantu memberi maklumat serta persepsi yang betul dan tepat.



Kita tidak boleh membiarkan orang Melayu selamanya berpecah-belah disebabkan oleh pengaruh alam siber yang memutar belitkan fakta sehingga melemahkan mereka. Orang Melayu bukanlah dicipta Allah SWT sebagai bangsa yang lemah. Orang Melayu adalah bangsa yang berdaulat dan mempunyai kekuatan yang cukup hebat. Tetapi dari semasa ke semasa 'kedaulatan' itu semakin pudar dan kekuatan pula semakin terhakis.



Golongan profesional dan usahawan perlu bersedia menghadapi cabaran besar untuk memberi khidmat terbaik kepada ummah dalam memperjuangkan Islam dan kebajikan orang Melayu untuk menangkis fitnah di alam siber. Usaha memupuk perpaduan yang lebih erat dan telus mesti diterjemahkan dengan satu matlamat bagi menghadapi PRU-14 yang akan tiba tidak lama lagi. Hikmah perpaduan ini amat bernilai dan memahami erti perpaduan serta ukhuwah sesama umat Islam adalah amat penting. Perpaduan sebegini adalah selari dengan sahsiah dan syariat Islam.



Emay Hazarul
Cybertroopers Penyokong Kerajaan

No comments:

Post a Comment