Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan RM400 juta untuk program 1Azam pada 2013 sebagai usaha membantu golongan miskin.
Timbalan Menteri Datuk Noriah Kasnon berkata pihaknya mensasarkan sekurang-kurangnya 65,000 peserta akan memperoleh manfaat daripada peruntukan berkenaan.
"Tujuan utama kita adalah bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah dan menyedia peluang kepada mereka meningkatkan pendapatan bulanan.
"Usaha kerajaan ini telah berjaya kerana sehingga 30 Nov lepas lebih 65 peratus daripada 90,983 peserta di seluruh Malaysia berupaya menambah kira-kira RM200 lagi pendapatan mereka sebulan," katanya kepada pemberita selepas Program Karisma 1Azam Kepala Batas, di sini hari ini.
Majlis dirasmikan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, menyaksikan seramai 57 peserta menerima barangan permulaan perniagaan.
Terdapat empat jenis Azam di bawah program 1Azam, iaitu Azam Kerja, Azam Niaga, Azam Khidmat dan Azam Tani. Program 1Azam Niaga dan Khidmat diletakkan di bawah KPWKM yang menawarkan 10 bidang, antaranya jahitan, pembuatan kuih, makanan sejuk beku dan gerai makanan.
Noriah berkata pendapatan peserta program 1Azam juga dijangka bertambah baik berikutan pemantauan berterusan dilakukan oleh kementeriannya.
"Kita percaya sasaran kerajaan membantu golongan wanita yang berpendapatan isi rumah RM1,500 ke bawah dapat dijayakan dengan baik.
"Keyakinan berdasarkan pemantauan dan tunjuk ajar berterusan bagi memastikan prestasi kemahiran golongan wanita bertambah baik dan matang, sekaligus meningkatkan pendapatan mereka," katanya.
Dalam pada itu, Noriah mengesa ibu bapa dan orang ramai yang mempunyai anggota keluarga orang kurang upaya (OKU) supaya mendaftar mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan bantuan dan latihan kemahiran diberikan.
Noriah berkata mereka yang mempunyai anggota keluarga OKU tidak perlu malu dengan membiarkan anak mereka hidup bersendirian di rumah tanpa mendapat pendidikan dan kemahiran.
"Sehingga 30 Nov lepas, hanya 405,441 OKU yang berdaftar dengan kita dan jumlah itu tidak sampai satu peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia.
"Mengikut kajian setiap negara mempunyai 10 hingga 15 peratus OKU. Jadi berdasarkan statistik, ramai lagi yang belum berdaftar dan mereka perlu berbuat demikian segera kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada OKU,"
No comments:
Post a Comment