Wednesday 16 January 2013

ISU AIR : "SENANG JE SALAHKAN SYABAS" KERAJAAN SELANGOR - @ZINMOHAMED

Kerajaan Selangor sepatutnya membantu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyelesaikan isu air yang melanda beberapa kawasan di negeri itu, bukannya mengambil sikap menuding jari, kata Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Beliau berkata sebagai pemegang 30 peratus saham dalam Syabas, kerajaan Selangor sepatutnya bersama-sama syarikat konsesi air itu berusaha memastikan bekalan air dapat disalur terus kepada rakyat tanpa gangguan.

"Kuasa kerajaan negeri mampu menyelesaikan isu ini dengan sistematik sekiranya mereka bertindak rasional demi masa depan rakyat negeri Selangor namun sebaliknya mereka (pemimpin kerajaan Selangor) menggunakan isu air ini untuk memenuhi agenda politik mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd Zin berkata kerajaan BN mencadangkan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dan menubuhkan sebuah jawatan kuasa khas untuk menangani krisis air di Selangor Julai tahun lepas, namun kedua-duanya tidak dipersetujui kerajaan Selangor pimpinan PKR.

"Kami telah berusaha mencadangkan kepada kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim namun mereka bermain 'silap mata' dengan menggunakan alasan remeh temeh kononnya tarif air akan dinaikkan selepas Langat 2," katanya.

Beliau mendakwa kerajaan Selangor tidak serius dalam menangani isu air sedangkan apa yang berlaku pada masa kini jelas menggambarkan risiko yang bakal dihadapi jika tindakan segera tidak diambil dalam memastikan bekalan air cukup di negeri itu.

"Masalah air di Selangor bukan soal politik tetapi ia berkaitan masa depan negara, jika Langat 2 tidak dibina menjelang 2016, satu krisis air akan berlaku dan satu demi satu kilang di Selangor terpaksa ditutup," katanya.

Mohd Zin berkata kerajaan Selangor tidak sepatutnya terus berdegil dan tidak mahu mengaku kesilapan mereka mengenai usaha menyelesaikan masalah isu air di negeri itu.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas mesyuarat exco Selangor di sini, Abdul Khalid terus menyalahkan Syabas yang didakwanya tidak mempunyai program khusus mengurangkan kadar air tidak terawat (NRW) dari 30 hingga 15 peratus.

Beliau turut meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) menyemak status usaha yang dilakukan oleh Syabas ke arah itu.

No comments:

Post a Comment