Friday, 20 July 2012

RAKYAT SELANGOR BAKAL SENGSARA LANGAT 2 PERLU DI TERUSKAN DENGAN SEGERA



KUALA LUMPUR 17 Julai - Krisis bekalan air yang melanda beberapa daerah di Selangor berpunca daripada keengganan kerajaan negeri melulus dan melaksanakan projek-projek bagi menambah bekalan air terawat yang semakin berkurangan.Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Teknikal Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Ir. V. Subramaniam berkata, ia termasuk menghalang pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) yang sangat diperlukan bagi mengatasi masalah kekurangan air terawat di negeri ini.
"Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga bertindak mengelirukan orang ramai dengan mengatakan bekalan air mentah di empangan sedia ada mencukupi malah melimpah ruah.
"Sedangkan krisis air Selangor melibatkan kekurangan air terawat, bukannya bekalan air mentah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Subramaniam berkata demikian bagi mengulas kenyataan Abdul Khalid semalam yang menyalahkan Syabas sebagai punca berlakunya krisis kekurangan air di negeri tersebut kerana kononnya tidak mengikut perjanjian konsesi.
Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan tidak benar sama sekali, Subramaniam berkata, kerajaan negeri wajar dipertanggungjawabkan sepenuhnya kerana menghalang pembinaan Langat 2 selain mengarahkan perbelanjaan modal (Capex) tidak dijalankan.
Katanya, ekoran tindakan kerajaan negeri itu Syabas tidak berupaya melaksanakan kerja-kerja mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) serta turut menjejaskan usaha membaik pulih serta menaik taraf aset bekalan air sedia ada.
"Pada masa sama, kegagalan kerajaan negeri menggazetkan pelarasan tarif air menyebabkan Syabas menanggung jumlah tunggakan yang besar kepada operator loji rawatan air sedia ada," jelasnya.
Menurut Subramaniam, sehingga kini, Syabas telah menghantar 48 pucuk surat memaklumkan situasi semasa dan kemungkinan berlakunya krisis air namun tiada tindakan berkesan diambil kerajaan negeri.
"Adalah pelik jika Menteri Besar sendiri tidak tahu status pengeluaran loji yang diuruskan kerajaan pimpinannya atau beliau sengaja buat-buat tidak tahu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, hasrat mengambil alih pengurusan Syabas membuktikan pimpinan kerajaan Selangor masih tidak faham tentang masalah sebenar krisis air di negeri itu.
Menurut beliau, ini kerana masalah air di negeri itu bukannya atas sebab jual beli Syabas tetapi isu pokoknya adalah kekurangan sumber air terawat yang sangat diperlukan rakyat.
Noh berkata, tidak ada gunanya pengurusan Syabas diambil alih tetapi sumber air masih tidak mencukupi dan ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.
"Tindakan kerajaan negeri yang hanya mementingkan politik menyebabkan rakyat Selangor sengsara kerana keperluan asas mereka iaitu air juga gagal disediakan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid Parlimen Tanjong Karang di kediamannya di sini hari ini. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Abd. Razak.


No comments:

Post a Comment