Friday 15 February 2013

Khalid Ibrahim Makin Pening – Lagi Ibu-Bapa Tuntut Janji Bantuan RM50 untuk Anak-Anak Pra-Sekolah


Selepas gagal membatalkan saman yang difailkan oleh kumpulan ibu tunggal berhubung pembayaran elaun sebanyak RM100 sebulan serta tuntutan kumpulan yang menuntut air percuma, kerajaan negeri Selangor hari ini terus berdepan dengan satu lagi tuntutan iaitu berkaitan bantuan pendidikan prasekolah.

Pengerusi Badan Bertindak Rakyat Selangor (BBRS), Datuk Said Anuar Said Ahmad berkata, ini berikutan kerajaan negeri dalam manifesto kempen pilihan raya umum 2008, telah berjanji akan memberi bantuan RM50 sebulan kepada kanak-kanak yang menghadiri pendidikan peringkat asas tersebut.



Jelas beliau, manifesto itu juga merujuk kepada seluruh keluarga tanpa mengira jumlah pendapatan kerana tiada syarat dikenakan.

“Kerajaan Selangor hari ini jelas gagal memenuhi janji semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) untuk menyediakan elaun sebanyak RM50 sebulan kepada 115,000 kanak-kanak yang memasuki prasekolah melibatkan tuntutan RM59.8 juta sejak tahun 2008. Jumlah itu termasuk seramai 23,945 kanak-kanak yang memasuki prasekolah sepanjang tahun lepas.

Dalam masa yang sama, kita menafikan bahawa BBRS menghalang atau menakutkan ibu-bapa Pra Sekolah untuk menerima bantuan pra persekolahan dari kerajaan pakatan negeri Selangor. Persoalannya, kerajaan negeri tidak telus untuk menyampaikan maklumat menyeluruh kepada rakyat Selangor khususnya kepada ibu-bapa yang mempunyai anak di pra-sekolah, mengapa pilih bulu, mengapa pilih kasih,” ujarnya kepada pemberita selepas bersama-sama dengan kumpulan ibu-bapa dari kawasan Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam yang mengadakan demostrasi menuntut janji PRU12 dari kerajaan negeri, di sini pagi tadi.

Tambahnya, kenyataan yang dibuat oleh seorang wakil rakyat dalam website Selangorku merupakan kenyataan yang melulu dan tidak bertanggungjawab, satu pembohongan besar dengan menuduh kerajaan pusat menyekat bantuan Skim Tunas kerajaan negeri Selangor.

“Hakikatnya, YB Dr halimah seorang wakil rakyat yang tidak prihatin dan tidak mengambil tahu jumlah sebenar anak-anak di prasekolah di negeri Selangor. Untuk tahun 2013, kerajaan negeri Selangor Cuma mensasarkan 5,000 ibu-bapa sehingga Disember 2013.

Kalau YB Dr Halimah begitu prihatin di atas kanak-akanak prasekolah, dah lari dari sasaran sebenar kerana di negeri Selangor sahaja, ada kira-kira 25ribu hingga 30ribu kanak-kanak yang belajar di Tadika Kemas, Tabika Perpaduan dan tadika swasta di negeri Selangor.

Kenyataan Dr Halimah bahawa bantuan ini, RM50 atau bantuan Skim Tunas ini untuk keluarga yang berpendapatan RM1500 ke bawah tetapi janji dalam manifesto tak sebut langsung. Mengapa hari ini ada syarat?,” ujarnya lagi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gombak.

Persoalan seterusnya, mengapa Skim Tunas ini baru dilancarkan pada 1 Julai 2012, setelah empat tahun pakatan PKR-DAP-PAS mentadbir negeri Selangor. Janji yang dibuat ialah pada tahun 2008, bagaimana dari tahun 2008 hingga 2012, siapa yang nak bayar tuntutan ini.

“Sepatutnya pembayaran ini sudah dibuat sejak Mac 2008 sehinggalah tahun 2013. Sehubungan dengan itu, nasihat kepada Dr Halimah, jangan berbohong kepada rakyat negeri Selangor. Kalau nak buat Skim Tunas ini, buatlah dengan ikhlas, jangan banyak main politik, jangan cakap tak serupa bikin, jangan tidak bertanggung dan tuduh yang bukan-bukan kepada kerajaan pusat,” tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment