Monday 10 September 2012



TANJONG KARANG – Laporan kewangan Universiti Selangor (Unisel) mencatatkan kerugian sejak 2008, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar semalam, selepas Kerajaan Negeri masih mendiamkan diri.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai bukti laporan audit kewangan Unisel yang sudah ditandatangani Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 27 Ogos 2011 lalu mencatatkan kerugian selepas cukai berjumlah kira-kira RM54.8 juta sejak Pakatan Rakyat (PR) memerintah Selangor.

“Disebabkan Abdul Khalid masih berdiam diri berhubung isu kewangan Unisel, saya tampil membuat pendedahan berdasarkan pada salinan laporan audit bagi 2009-2010 menunjukkan kerugian selepas cukai sebanyak RM1.63 juta pada 2008, RM13.55 juta (2009) dan RM39.68 juta pada 2010.

“Universiti ditadbir Kerajaan Negeri Selangor itu mencatatkan jumlah pendapatan RM94.40 juta pada 2008, RM93.51 juta (2009) dan jumlah itu menurun kepada RM75.48 juta bagi 2010.

“Bagi 2008, jumlah perbelanjaan adalah sebanyak RM93.97 juta dan jumlah itu meningkat kepada RM106.13 juta pada 2009 dan RM113.11 juta pada 2010.

“Mana hebatnya Menteri Besar yang dikatakan tokoh korporat itu menyelesaikan krisis kerugian Unisel ini? Macam mana ekonomi negeri mahu ditingkatkan sedangkan ekonomi Unisel sendiri merundum,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien di Dewan Datuk Hormat, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias dan Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kegagalan Abdul Khalid menunaikan janjinya untuk mendedahkan laporan audit sebelum berakhir Ogos lalu jelas menunjukkan sikap tidak boleh menepati janji.

“Apabila saya timbulkan isu kewangan Unisel dalam keadaan nazak dalam Sinar Harian Julai lalu, masa itu Menteri Besar begitu ego dan sombong sehingga meminta saya belajar akaun dengan dia.

“Sekarang sudah selesai Ogos, saya mahu tanya Menteri Besar adakah audit Unisel masih belum selesai? Sebenarnya audit itu sudah lama selesai,” katanya yang turut meminta agar Menteri Besar dari PKR itu berhenti daripada terus menipu rakyat negeri itu.

Noh turut meminta menteri besar jangan cuba menyembunyikan fakta isu kewangan Unisel dan mencabar Abdul Khalid tampil dan menjawab dakwaan ini

No comments:

Post a Comment