Friday 7 September 2012

Barisan Nasional boleh rampas Kelantan - Noh Omar-


KOTA BHARU 7 Sept. - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Noh Omar meramalkan, Barisan Nasional (BN) akan berjaya merampas semula Kelantan daripada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Noh yang optimis dengan perkara tersebut berkata, sambutan luar biasa rakyat Kelantan kepada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menunjukkan, rakyat Kelantan mahukan perubahan kerana sudah jemu dengan sikap Pas yang hanya pandai menyalahkan pihak lain bagi menutup kelemahan mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu bagaimanapun mengingatkan, kemenangan tersebut akan hanya tercapai jika BN dan UMNO di semua peringkat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan mereka dengan mengutamakan parti berbanding peribadi.

Selain itu katanya, ia juga bergantung kepada sejauh mana jentera parti di semua peringkat mengekalkan momentum gerak kerja dan berjaya meyakinkan rakyat bahawa hanya BN yang mampu membawa perubahan kepada mereka.

"Percayalah, jika BN dan UMNO berjaya meyakinkan, rakyat akan berubah tetapi dengan satu syarat, kita buktikan perpaduan kita dengan meletakkan parti melebihi kepentingan individu," katanya berucap menutup Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Kerian di Dewan Datuk Sri Najib Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Gafar (1) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO bahagian, Datuk Mohd. Fauzi Ismail; Timbalan beliau, Mohamad Noordin Awang; Naib Ketua UMNO bahagian, Saidi Mohd. Nor; Ketua Wanita, Datuk Zaleha Hussin; Ketua Pemuda, Anuar Safian dan Ketua Puteri, Azlinda Alis.

Menurut Noh, rakyat yang bertindak sebagai hakim, kini sedang memerhati dan membuat perbandingan antara Pas dan BN serta akan membuat keputusan pada pilihan raya itu nanti.

Justeru, beliau mengingatkan jentera parti supaya meneruskan gerak kerja di peringkat akar umbi mendekati rakyat bagi menarik sokongan mereka sehingga ke saat-saat akhir.

"Saya percaya walaupun tarikh pilihan raya menjadi teka teki, gerak jentera untuk memastikan kemenangan parti tidak boleh menjadi teka teki, kita boleh capai kemenangan bila ada satu kekuatan," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan janji-janji pembangkang dalam manifesto parti itu, kerana ia hanya untuk memancing undi dan tidak akan ditunaikan.

Jelasnya, sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, manifesto bagi pembangkang bukanlah satu janji yang mesti ditunaikan dan keadaan itu berbeza dengan BN/UMNO.

No comments:

Post a Comment