Sunday, 13 January 2013

Tabung Rumah Pangsa diwujud jika BN rampas kembali Selangor

Tabung khas bagi tujuan menyelenggara rumah-rumah pangsa di Selangor akan diwujudkan sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali negeri tersebut.

Pengerusi Pemuda BN Negeri Selangor, Ungku Md. Salleh Ungku Abd. Jamal berkata, antara manifesto yang akan dibawa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah mewujudkan tabung berkenaan bagi menampung kekurangan dana terutamanya dalam kerja-kerja penambahbaikan bangunan kediaman mereka.

"Di bawah kerajaan BN terdahulu, tabung ini ada, namun di bawah kerajaan negeri sekarang, sudah tidak kelihatan lagi dan perkara tersebut sememangnya menimbulkan persoalan.

"Kami tidak faham mengapa hal seperti penyelenggaraan rumah-rumah pangsa tidak diberikan perhatian kerajaan Selangor ketika ini walhal keperluan tersebut amat diperlukan bagi kebajikan dan keselesaan rakyat," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Serdang berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan pam air baharu bagi penduduk Pangsapuri Taman Seri Kenari, Sungai Ramal Baru, Kajang di sini hari ini.

Yang hadir sama Penolong Kertua Pemuda UMNO Bahagian Serdang, Hairuddin Ahmad dan Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Taman Seri Kenari, Azlan Bahrin.

Tambah Ungku Md. Salleh, tabung itu nanti diharap dapat membantu penduduk di rumah-rumah pangsa dalam urusan penyelenggaraan kemudahan lif serta mengecat bangunan.

Sementara itu jelasnya, pam air baharu yang diserahkan tersebut merupakan tindakan segera bagi mengatasi kerosakan pam yang membawa kepada krisis air yang menimpa penduduk pangsapuri ini sejak dua minggu lalu.

"Pam baharu bernilai lebih RM11,000 ini merupakan sumbangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas masalah itu diajukan kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Diharap bantuan ini dapat menyelesaikan masalah air yang menimpa kira-kira 600 keluarga di pangsapuri ini," katanya.

Sementara itu seorang penduduk, K. Kalewani, 42, menyambut baik dan berterima kasih terhadap perhatian BN bagi mengatasi masalah yang menimpa penduduk di sini.

"Sekarang masalah air di sini sudah selesai dan kami berasa terharu dan berterima kasih terhadap kepimpinan BN setempat yang membantu," katanya.

Bagi Normah Dolhan, 37, bantuan yang diterima amat dihargai, sekali gus tidak lagi perlu baginya untuk berulang-alik mengambil bantuan air.

"Saya tinggal di tingkat lapan pangsapuri ini dan sememangnya menjadi masalah untuk sentiasa berulang-alik mengambil air di bawah, apabila pam air baru ini ada, keadaan kembali seperti biasa," katanya.

Sementara itu bagi warga emas, Chong Fong Mui, 58, bantuan yang diberikan ini merupakan tanda keprihatinan BN tanpa mengenal kaum.

"Ketika masalah air menimpa, penduduk di sini terutama warga tua mengalami banyak kesukaran, sehubungan itu bantuan pantas yang diberikan ini memang dihargai," katanya.

No comments:

Post a Comment