Sunday, 2 September 2012

BN SELANGOR SEDIA GEMPUR PAKATAN PEMBANGKANG- ZIN MOHAMED


Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Selangor sudah bersedia untuk bergerak sebagai satu pasukan dalam usaha merampas semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13, kata Koordinator BN negeri, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed.

Katanya, jentera BN termasuk dari UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP semakin bersemangat untuk menghadapi kerajaan pakatan pembangkang diterajui PKR yang kini dibelenggu pelbagai isu termasuk isu air, skandal Talam Gate dan sistem penyampaian yang lemah.

"Sudah lama kami memperkasa dan memperkukuhkan jentera parti di peringkat akar umbi dan dari masa ke semasa jentera parti diperkemaskan berdasarkan faktor politik semasa," katanya dalam satu temu bual dengan portal The Selangor Times hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, BN Selangor sentiasa memantau perkembangan di 56 kawasan DUN dan 22 Parlimen untuk mendalami permasalahan rakyat dan isu-isu yang berbangkit bagi memastikan nasib rakyat Selangor sentiasa terbela walaupun kuasa pentadbiran dikuasai PKR-DAP-Pas.

"Pembentukan Pusat Khidmat Rakyat BN Selangor (Pakar) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan Mei lepas menjadi platform 'sehenti' yang cukup berkesan dan efektif untuk rakyat Selangor mengemukakan aduan, laporan dan bantahan secara talian hotline yang secara langsung melibatkan hubungan dua hala antara BN dan rakyat," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan calon BN di Selangor pada PRU akan datang, Zin yang juga bekas Menteri Kerja Raya berkata, perkara tersebut merupakan kuasa mutlak Presiden UMNO dan menasihatkan semua pihak mendahulukan kepentingan serta masa depan UMNO dan BN .

"Saya akui proses pemilihan calon merupakan faktor yang paling kritikal menjelang mana-mana pilihan raya umum. Parti pembangkang turut mengalami fenomena yang lebih mencemaskan jika dibandingkan dengan BN dalam isu pemilihan calon.

"Tetapi senario dalaman BN lebih terkawal kerana kita mempunyai kepimpinan yang kuat dan apatah lagi di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Noh Omar selaku Timbalan Pengerusi UMNO BN dan UMNO Selangor," katanya.

BN ketika ini menguasai 20 kerusi DUN manakala pakatan PKR, Pas, DAP memenangi 36 kerusi daripada 56 kerusi di negeri itu, sementara bagi Parlimen, BN hanya menang di lima daripada 22 kawasan yang ditandinginya.

Sementara itu, Zin turut membidas sikap kerajaan negeri Selangor khususnya Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam menangani skandal pengambilalihan hutang Talam yang sifatkannya sebagai skandal 'Talam Gate'.

"Beliau masih berdolak-dalik dan bermain politik mengenai isu ini. Banyak pendedahan telah dibuat berhubung isu Talam tetapi kerajaan negeri masih mendiamkan diri. Rakyat mahukan jawapan dan penjelasan yang terperinci bukannya melarikan diri," katanya .

Zin turut menyelar tindakan kerajaan negeri dalam menangani isu air yang semakin kritikal.

No comments:

Post a Comment