Tuesday, 14 August 2012

Perhimpunan 'Janji Bersih' bermotifkan politik - Noh!


Perhimpunan 'Janji Bersih' yang dirancang beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih) sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 merupakan tindakan bermotifkan politik dan bukannya untuk kepentingan rakyat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, perhimpunan itu sememangnya dirancang NGO berkenaan termasuk pemimpin pembangkang dengan niat mencemari semangat sambutan Hari Kemerdekaan selain mencetuskan persepsi rakyat kononnya Malaysia sebuah negara yang tidak adil dan bersih.

Jelas Noh, tindakan NGO berkenaan adalah tidak wajar kerana Hari Kemerdekaan negara adalah hari yang mana semua rakyat sepatutnya berada dalam suasana yang sama dari segi semangat selain disusuli dengan perpaduan yang erat antara satu sama lain.

"Jadi, apa perlunya mereka mengadakan perhimpunan 'Janji Bersih' ini. Mereka ini sebenarnya mengambil kesempatan di sebalik sambutan Hari Kemerdekaan dan perpaduan rakyat untuk kepentingan politik," katanya kepada pemberita di Tapak Pasar Tani Seksyen 13, di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Noh mengulas tindakan sekumpulan NGO dan Bersih yang berhasrat menganjurkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada malam sambutan Hari Kemerdekaan bagi mengulangi tuntutan penambahbaikan proses pilihan raya.

Berdasarkan laporan sebuah portal berita 9 Ogos lalu, wakil kumpulan NGO terbabit iaitu Pengerusi bersama Bersih, Datuk A. Samad Said menyatakan perhimpunan yang dikenali sebagai 'Janji Bersih' itu akan bermula pada pukul 10 malam pada 30 Ogos di Dataran Merdeka.

Terdahulu, Noh merasmikan pelancaran Pasar Tani Khas Aidilfitri di sini yang diadakan khusus bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barang keperluan dengan harga lima peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Mengulas mengenai pasar tani itu, Noh berkata, ia merupakan inisiatif kementeriannya menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) untuk bersama-sama menangani kenaikan harga barang di pasaran terutamanya pada musim perayaan.

Selain harga yang rendah katanya, FAMA turut memberi tumpuan terhadap inovasi gerai-gerai serta kebersihan bagi menarik orang ramai ke pasar tani selaras dengan sasaran pihaknya mencapai nilai jualan RM1 bilion tahun ini.

"Dalam tempoh tiga tahun ini, nilai jualan di pasar tani mencecah RM800 juta setahun dan kita menyasarkan nilai jualan itu meningkat kepada RM1 bilion berikutan sambutan menggalakkan orang ramai," katanya.-UMO

No comments:

Post a Comment