Friday 24 August 2012

BN tidak gusar, terancam jentera ceramah baru PR


SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) Selangor tidak berasa gusar dan terancam dengan jentera baru Pakatan Rakyat (PR) yang menjadikan sebuah bas dua tingkat sebagai platform ceramah bergerak untuk menyampaikan mesej parti.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata, BN mempunyai pendekatan tersendiri dan pihaknya langsung tidak akan meniru cara digunakan PR bagi meraih sokongan rakyat.

“Kita tidak hairan dengan apa yang dilakukan mereka (PR). Apa yang Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) lakukan itu terpulanglah kepada parti mereka.

“Rakyat boleh nilai sejauh mana mereka (PR) memimpin. Mereka yang akan membuat pilihan pemimpin untuk generasi akan datang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai jentera pilihan raya PR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kelak.

Beliau mendakwa, sepanjang PR mentadbir Selangor, tiada pencapaian atau pembangunan yang boleh dibanggakan kerana mereka dikatakan lebih gemar berpolitik daripada memikirkan kebajikan rakyat.

Menurutnya, adalah menjadi keutamaan BN untuk menumpukan kepada usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, bukannya melalui ceramah semata-mata.

“Mereka (PR) sebagai kerajaan sepatutnya bawa pembangunan (kepada negeri), bukan hanya sekadar berceramah saja, tetapi apa yang dilihat selama ini, mereka lebuh banyak berceramah daripada mengutamakan kebajikan rakyat.

“Kita gunakan pendekatan menyambut agenda Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya mengutamakan rakyat dan kita yakin dapat tawan hati rakyat (dengan cara ini),” katanya.

Kerajaan Negeri buat kali pertamanya mempamerkan bas yang dilengkapi dengan sistem audio visual untuk acara itu di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri, di sini.

Kenderaan berkenaan disewa khas oleh Abdul Khalid menggunakan wang poketnya sendiri selama tiga hingga empat bulan bagi membawa pemimpin PR menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia untuk berkempen menjelang PRU13.

No comments:

Post a Comment