Tuesday, 26 November 2019

SIAPA BENAR ABU MAYAT CHIN PENG DIBAWA BALIK DAN APA TUJUAN BERITA INI DIHEBAHKAN?



Chin Peng meninggal dunia pada jam 6.20 pagi 16 September 2013 di sebuah hospital di Bangkok, dan sejak itu ramai yang menuntut abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia.

Antara yang lantang menuntut abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia ini ialah pemimpin DAP, termasuk Lim Kit Siang, Karpal Singh, Teresa Kok dan Dr P Ramasamy.

Antara yang lantang mendesak supaya ini tidak dibenarkan pula adalah bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hussin Ismail.

Kata mereka, negara tidak berhutang apa-apa dengan Chin Peng, malah beliau mengakibatkan rakyat menderita dan lebih 10,000 meninggal dunia akibat kekejaman PKM.

Kerajaan, khasnya melalui Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri waktu itu, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bertegas menolak tuntutan ini.

Alasan utama mereka ialah kerana kerajaan sensitif terhadap perasaan keluarga angkatan tentera, anggota polis dan orang awam yang dibunuh atau diseksa oleh PKM.

Ketua Polis Negara waktu itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar, malah mengumumkan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba membawa masuk abu mayat atau memorabilia Chin Peng, dan menahan dua individu di Lapangan Terbang Pulau Pinang.

Tindakan kerajaan ini juga disokong oleh Tun Dr Mahathir dalam tulisan beliau yang disiarkan oleh New Straits Times pada 1 Oktober 2013 dan oleh blog beliau keesokan harinya.

*Oleh itu, adalah mengejutkan bila tiba-tiba sahaja muncul laporan bahawa abu mayat Chin Peng telah dibawa pulang ke Malaysia serta ditabur di laut berdekatan Lumut dan di hutan sekitar Banjaran Titiwangsa disertai upacara peringatan Chin Peng pada 16 September lalu.*

Dua soalan segera terlintas dalam fikiran saya:

*1) Jika keputusan menghalang abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia ini adalah keputusan Kabinet terdahulu, apakah keputusan membenarkannya juga dibuat oleh Kabinet? Jika tidak, siapakah individu yang membenarkannya?*

*2) Mengapakah hanya setelah lebih dua bulan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia baru berita ini dihebahkan kepada rakyat? Dan, mengetahui sensitiviti isu ini kepada rakyat, apakah tujuan berita ini dihebahkan kepada rakyat?*

*Bolehkah dibayangkan apa perasaan keluarga angkatan tentera, anggota polis dan orang awam yang dibunuh atau diseksa oleh PKM bila mengetahui berita ini?*

No comments:

Post a Comment