Cadangan pembangkang untuk membekukan pengambilan anggota polis baharu jika memenangi pilihan raya umum akan datang dilihat sebagai tindakan terburu-buru tanpa kajian mendalam.
Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri berkata, cadangan yang dinyatakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar itu juga tidak bersandarkan kepada fakta kukuh selain tidak mengambil kira cabaran dalaman negara.
"Cadangan itu hanya berlandaskan emosi semata-mata. Malaysia ini unik, ada pelbagai kaum. Jadi, cabaran mengendalikan jenayah merentasi pelbagai kaum itu tidak sama dengan negara lain. Lebih-lebih lagi negara ini sedang menuju ke arah negara maju.
"Trend jenayah juga berbeza. Kajilah secara mendalam kerana ini melibatkan keselamatan negara yang bukannya boleh cakap suka-suka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Nurul Izzah bahawa pembangkang bercadang membekukan pengambilan anggota polis baharu kerana mendakwa nisbah anggota kepada penduduk di negara ini melebihi statistik piawaian antarabangsa.
Shafie berkata, saban tahun, pengambilan anggota baharu tidak boleh dielakkan bagi menggantikan anggota yang bersara, berhenti atau menyambung pengajian.
"Dari segi penduduk juga akan bertambah dan membekukan pengambilan anggota baharu bukan jalan penyelesaian," tegas beliau.
Mengulas isu sama, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye memberitahu, pengambilan anggota polis baharu setiap tahun adalah satu keperluan serta selaras dengan permintaan ramai.
Katanya, bilangan anggota polis yang ramai turut memberi kesan kepada keupayaan pasukan keselamatan membanteras jenayah secara lebih menyeluruh.
"Itu adalah pandangan politik dan saya tidak mahu bercakap dari segi politik. Realitinya, kita perlu lebih ramai anggota polis. Dengan itu, polis boleh meningkatkan tugas rondaan di seluruh negara.
"Orang ramai mengadu tentang rondaan anggota polis yang tidak mencukupi. Oleh itu, adalah wajar bilangan anggota polis ditingkatkan,
No comments:
Post a Comment