Kira-kira 100 ibu tunggal mengadakan demonstrasi di hadapan Bangunan SUK, di sini, hari ini bagi menuntut elaun ibu tunggal seperti dijanjikan kerajaan Selangor dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu.
Mereka berkumpul sejak jam 10 pagi dengan membawa pelbagai sepanduk, termasuk bertulis 'Khalid Penipu' dan 'Berikan Elaun Kami'.
Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Martini Kasman, berkata pihaknya mahu menuntut janji kerana berasa teraniaya dengan janji yang ditabur Pakatan Rakyat pada PRU12.
"Kami datang ke mari dengan tujuan untuk menghantar memorandum kepada Menteri Besar untuk menuntut janji.
"Kita mahu janji dikotakan. Kalau janji tidak dikotakan, kita dianayai. Apabila menang kita ditinggalkan begitu sahaja," katanya kepada pemberita.
Semalam, seramai 2,020 ibu tunggal di Selangor memfailkan saman berjumlah RM10.9 juta terhadap kerajaan Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, atas tuntutan yang sama.
Saman itu difailkan melalui tetuan Kamarudin & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam manifesto pilihan raya 2008 menjanjikan elaun kepada ibu tunggal di negeri itu termasuk elaun khas suri rumah.
Namun setelah lebih empat tahun mentadbir negeri itu, golongan ibu tunggal umpamanya diabaikan.
Exco Selangor, Rodziah Ismail sebelum ini berkata kerajaan negeri menghadapi masalah untuk melaksanakan pemberian elaun itu berikutan ketiadaan data sebenar mengenai ibu tunggal.
Tambahnya lagi, pemberian elaun itu tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit, tetapi mungkin juga dalam bentuk latihan dan modal untuk memulakan perniagaan serta bantuan pelajaran kepada anak-anak mereka.
No comments:
Post a Comment