Tuesday, 4 September 2012
PEMBANGKANG BUAT RAKYAT KURANG AJAR
Isu belakangkan institusi Raja sambut merdeka, hina pemimpin bukti biadab
Walaupun tindakan kerajaan pakatan pembangkang mengetepikan Sultan Selangor dalam sambutan ulang tahun kemerdekaan peringkat negeri itu dan perbuatan melondeh seluar serta memijak ke atas gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka menjelang 31 Ogos lalu mungkin insiden berasingan, ia mempunyai satu persamaan - mencerminkan sifat kurang ajar. Tindakan tidak mengundang Sultan Selangor ke acara tahunan menyambut ulang tahun kemerdekaan, walau apa pun alasannya, bukan saja menunjukkan kepemimpinan kerajaan negeri itu menafikan kepentingan dan peranan sultan dalam sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi amalan di negara ini, ia dilihat sebagai penghinaan terhadap institusi Raja.
Disebabkan adat dan budaya Melayu yang menjadi sebahagian besar asas kebudayaan rakyat negara ini sejak sekian lama, semakin tidak dihormati segelintir pemimpin atau parti politik, ia kini menular kepada generasi muda.
Lebih malang lagi, jika tindakan itu semata-mata kerana kemarahan kerajaan negeri terhadap Kerajaan Pusat, ia mencerminkan kerajaan pakatan pembangkang sekarang sanggup melakukan apa saja kerana politik. Mereka seolah-olah gagal membezakan antara institusi Raja, yang peranannya termaktub dalam Perlembagaan, dengan parti politik yang mereka musuhi.
Insiden terbaru membabitkan kerajaan negeri dengan Istana Selangor itu meningkatkan lagi anggapan umum bahawa pakatan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS, sejak mencatat kemenangan besar pada pilihan raya umum lalu, semakin tidak menghormati institusi raja.
Kecuali kerajaan Kedah, yang didominasi oleh PAS, negeri lain di bawah pemerintahan pakatan pembangkang sering menimbulkan masalah dengan istana.
Perbuatan di luar protokol istana di Selangor sejak pakatan pembangkang memerintah juga bukan perkara baru. Malah, pemimpin kerajaan Pulau Pinang yang tidak beraja pun pernah dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menyinggung Sultan Johor.
Barangkali, disebabkan adat dan budaya Melayu yang menjadi sebahagian besar asas kebudayaan rakyat negara ini sejak sekian lama, semakin tidak dihormati segelintir pemimpin atau parti politik, ia kini menular kepada generasi muda. Insiden seorang pemuda melondeh seluarnya dan memijak gambar Perdana Menteri, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof sambil disokong sekumpulan rakannya di Dataran Merdeka malam Jumaat lalu adalah contoh terbaik bila tindakan parti politik atau kumpulan disertai mereka, dilihat tidak menghormati adat resam dan peraturan.
Tidak kiralah sama ada gambar Perdana Menteri atau rakyat biasa, perbuatan seumpama itu memang bukan budaya rakyat negara ini. Hanya mereka yang tidak dididik dengan baik atau ditanam dengan sifat kebencian melampau, sanggup melakukan perkara itu.
Kalaupun mereka tidak mahu menghormati Najib sebagai pemimpin, jika terdidik dengan baik, mereka tentunya menghormatinya sebagai orang lebih tua. Semua bangsa di negara ini – Melayu, Cina dan India – mengajar anak mereka menghormati orang tua. Tidak ada budaya rakyat negara ini yang mengajar anak mereka menjadi kurang ajar.
Oleh itu, agak sukar bagi kita untuk tidak mengaitkan insiden di Dataran Merdeka itu dengan budaya politik yang dibawa parti pembangkang sejak akhir-akhir ini. Walaupun perhimpunan itu dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan, semua orang tahu siapa di belakang mereka.
Jika tidak bermotifkan politik, kenapa ada sekumpulan belia berbaju kuning berarak mengibarkan bendera dan membawa poster yang mereka dakwa bakal menggantikan Jalur Gemilang? Tidak mungkin insiden membawa bendera berwarna merah putih tanpa 14 jalur itu berlaku secara spontan. Apakah ini satu isyarat bahawa Jalur Gemilang juga akan ditukar jika pakatan pembangkang dapat memerintah negara nanti?
Semua insiden ini mendedahkan betapa jeliknya politik sesetengah golongan di negara ini. Oleh kerana perbezaan pendapat dan terlalu kemaruk kuasa, mereka sanggup mengubah dan melakukan apa saja sehingga menimbulkan pertanyaan, apakah tiada langsung semangat patriotik di jiwa mereka?
No comments:
Post a Comment