Thursday, 13 September 2012
MB SELANGOR PERLU BERI PENJELASAN PEMBELIAN KOMPAKTOR RM 14.5JUTA
Tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membeli 50 model lori kompaktor sampah yang sudah tidak dikeluarkan lagi bernilai RM14.5 juta, selain tanpa melalui pengedar tunggal peralatan berkenaan menimbulkan tanda tanya.
Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed (gambar) berkata, meskipun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan pembelian kompaktor tersebut dibuat secara terus dengan syarikat pengeluar di China tetapi persoalannya siapakah yang memutuskan pembelian itu.
"Jika benar model tersebut sudah tidak dikeluarkan, jenis apakah yang sebenarnya dibeli? Siapakah yang memutuskan pembelian tersebut? Sehingga kini, lori-lori kompaktor itu dikatakan masih belum sampai.
''Adakah perasmian penggunaan kompaktor itu yang dilakukan oleh Menteri Besar pada Jun lalu hanya wayang untuk menutup isu sampah?'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Laporan akhbar baru-baru ini memetik kenyataan dari pengedar tunggal model sama kompaktor yang dibeli oleh kerajaan negeri, Dong Feng Commercial Vehicles Sdn. Bhd., menyatakan model berkenaan sudah tidak lagi dikeluarkan.
Menurut laporan itu, pembelian kompaktor yang ketinggalan zaman itu dibuat oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), membabitkan kos RM14.5 juta bagi membantu 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) menyelesaikan masalah kutipan sampah di Selangor.
Abdul Khalid mempertahankan keputusan pembelian 50 buah lori kompaktor tersebut, selain menyatakan ia memberi penjimatan kepada kerajaan negeri.
Kerajaan negeri turut menafikan keputusan menyemak semula pembelian tambahan 50 kompaktor sampah buatan China membabitkan kos RM14.5 juta untuk menyelesaikan masalah kutipan sampah di Selangor mempunyai kaitan dengan dakwaan kononnya model itu ketinggalan zaman.
Sebaliknya, beliau menjelaskan semakan semula itu merupakan satu amalan biasa bagi memastikan pembelian tersebut memberi pulangan wang kepada kerajaan negeri.
Mohd. Zin berkata, pembelian kompaktor oleh kerajaan negeri yang kononnya ingin menyelesaikan masalah sampah di Selangor boleh diibaratkan seperti melepaskan batuk di tangga.
''Setelah membatalkan kontrak Alam Flora, kerajaan negeri yang kononnya prihatin dengan masalah sampah rakyat dikatakan membeli 50 buah kompaktor sampah bernilai RM14.5 juta," katanya.
Malah kata Mohd. Zin, kenyataan Menteri Besar semasa melancarkan pembelian kompaktor tersebut bahawa ia adalah bagi kegunaan PBT dan disewakan kepada kontraktor yang tidak mempunyai kapasiti, cukup mengelirukan.
''Sedangkan syarat untuk menjadi kontraktor kutipan sampah ialah sesebuah syarikat perlu memiliki kemudahan asas seperti kompaktor," katanya.
Justeru beliau berkata, pihaknya menunggu jawapan daripada Menteri Besar tentang perkara tersebut kerana pada masa ini Pusat Khidmat Rakyat (Pakar) BN Selangor masih menerima aduan berkaitan sampah yang tidak dipungut.
''Hakikatnya, isu sampah masih belum selesai," tegas beliau.
No comments:
Post a Comment