Saturday, 16 February 2013

Sedari Hakikat Transformasi Kerajaan BN Untungkan Rakyat



Rakyat Malaysia perlu menyedari hakikat segala pembaharuan yang dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui pelbagai program transformasi berjaya menjadikan kehidupan masyarakat lebih baik kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata apa yang dilakukan kerajaan BN menunjukkan ia mengotakan janji yang dibuat, tidak seperti pembangkang yang hanya pandai menabur janji kosong.

"Rakyat Malaysia perlu berfikir tentang pembaharuan transformasi yang telah dilakukan (BN). Orang lain hanya pandai cakap sahaja tetapi tidak dapat buat sesuatu," katanya ketika berucap pada sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2013 di Taman Puchong Utama semalam.

Majlis yang dihadiri puluhan ribu tetamu itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Datuk Seri Dr Rais berkata sambutan meriah di Puchong mencerminkan bahawa masyarakat Tiong Hua khususnya tidak putus-putus menyokong usaha murni kerajaan pimpinan Najib, yang telah memperkenal pelbagai program transformasi yang banyak membawa manfaat kepada mereka.

"Kalau dicongak, malam ini membuktikan masyarakat Tiong Hua bersatu hati, dan (sambutan terhadap) program yang terlaksana sebelum ini menunjukkan sokongan dan kebangkitan masyarakat berbilang kaum menjadi kenyataan," katanya.

Turut hadir isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen serta Menteri Pertanian dan Industi Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan dan artis tempatan seperti Daniel Lee, Cheryl Koh, Shila Amzah serta Jamal Abdillah.

PM @NajibRazak - Amalan Perkongsian Konsep Terbaik Untuk Malaysia


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata amalan perkongsian perlu dikekalkan kerana ia merupakan konsep terbaik untuk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.
Beliau berkata konsep tersebut sememangnya telah lama dipraktikkan iaitu menerusi perkongsian kuasa sejak merdeka serta perkongsian kekayaan sehingga membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang aman makmur.

"Kita juga kongsi raya...kaum lain datang untuk sama-sama sambut Tahun Baharu Cina. Kalau nak capai potensi yang maksimum, maka konsep (berkongsi) yang unik pada Malaysia ini mesti dikekalkan," katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2013 di Puchong semalam.

Datuk Seri Najib mengingatkan rakyat bahawa sikap keterlaluan atau "memilih jalan sendiri" tidak boleh diamalkan di dalam sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk.

Majlis yang disertai hampir 50,000 pengunjung itu turut dihadiri isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Antara tetamu kenamaan lain yang hadir ialah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Mengulas lanjut mengenai konsep perkongsian, Datuk Seri Najib berkata: "Kalau kita sanggup berkongsi kekayaan, berkongsi menghadapi cabaran serta masalah dan bermuafakat maka Malaysia akan jadi negara yang berjaya."

Beliau menarik perhatian bahawa kaum Cina di negara ini sememangnya terkenal dengan kerajinan bekerja sehingga mendorong kepada kejayaan.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata kejayaan mereka juga adalah kerana usaha kerajaan sejak merdeka yang telah mewujudkan keadaan selesa bagi membolehkan mereka mencapai kejayaan secara berterusan.

Dalam pada itu, beliau menaruh harapan Malaysia akan melakar lebih banyak kemajuan dan kejayaan di tahun baharu ini.

Friday, 15 February 2013

Khalid Ibrahim Makin Pening – Lagi Ibu-Bapa Tuntut Janji Bantuan RM50 untuk Anak-Anak Pra-Sekolah


Selepas gagal membatalkan saman yang difailkan oleh kumpulan ibu tunggal berhubung pembayaran elaun sebanyak RM100 sebulan serta tuntutan kumpulan yang menuntut air percuma, kerajaan negeri Selangor hari ini terus berdepan dengan satu lagi tuntutan iaitu berkaitan bantuan pendidikan prasekolah.

Pengerusi Badan Bertindak Rakyat Selangor (BBRS), Datuk Said Anuar Said Ahmad berkata, ini berikutan kerajaan negeri dalam manifesto kempen pilihan raya umum 2008, telah berjanji akan memberi bantuan RM50 sebulan kepada kanak-kanak yang menghadiri pendidikan peringkat asas tersebut.



Jelas beliau, manifesto itu juga merujuk kepada seluruh keluarga tanpa mengira jumlah pendapatan kerana tiada syarat dikenakan.

“Kerajaan Selangor hari ini jelas gagal memenuhi janji semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) untuk menyediakan elaun sebanyak RM50 sebulan kepada 115,000 kanak-kanak yang memasuki prasekolah melibatkan tuntutan RM59.8 juta sejak tahun 2008. Jumlah itu termasuk seramai 23,945 kanak-kanak yang memasuki prasekolah sepanjang tahun lepas.

Dalam masa yang sama, kita menafikan bahawa BBRS menghalang atau menakutkan ibu-bapa Pra Sekolah untuk menerima bantuan pra persekolahan dari kerajaan pakatan negeri Selangor. Persoalannya, kerajaan negeri tidak telus untuk menyampaikan maklumat menyeluruh kepada rakyat Selangor khususnya kepada ibu-bapa yang mempunyai anak di pra-sekolah, mengapa pilih bulu, mengapa pilih kasih,” ujarnya kepada pemberita selepas bersama-sama dengan kumpulan ibu-bapa dari kawasan Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam yang mengadakan demostrasi menuntut janji PRU12 dari kerajaan negeri, di sini pagi tadi.

Tambahnya, kenyataan yang dibuat oleh seorang wakil rakyat dalam website Selangorku merupakan kenyataan yang melulu dan tidak bertanggungjawab, satu pembohongan besar dengan menuduh kerajaan pusat menyekat bantuan Skim Tunas kerajaan negeri Selangor.

“Hakikatnya, YB Dr halimah seorang wakil rakyat yang tidak prihatin dan tidak mengambil tahu jumlah sebenar anak-anak di prasekolah di negeri Selangor. Untuk tahun 2013, kerajaan negeri Selangor Cuma mensasarkan 5,000 ibu-bapa sehingga Disember 2013.

Kalau YB Dr Halimah begitu prihatin di atas kanak-akanak prasekolah, dah lari dari sasaran sebenar kerana di negeri Selangor sahaja, ada kira-kira 25ribu hingga 30ribu kanak-kanak yang belajar di Tadika Kemas, Tabika Perpaduan dan tadika swasta di negeri Selangor.

Kenyataan Dr Halimah bahawa bantuan ini, RM50 atau bantuan Skim Tunas ini untuk keluarga yang berpendapatan RM1500 ke bawah tetapi janji dalam manifesto tak sebut langsung. Mengapa hari ini ada syarat?,” ujarnya lagi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gombak.

Persoalan seterusnya, mengapa Skim Tunas ini baru dilancarkan pada 1 Julai 2012, setelah empat tahun pakatan PKR-DAP-PAS mentadbir negeri Selangor. Janji yang dibuat ialah pada tahun 2008, bagaimana dari tahun 2008 hingga 2012, siapa yang nak bayar tuntutan ini.

“Sepatutnya pembayaran ini sudah dibuat sejak Mac 2008 sehinggalah tahun 2013. Sehubungan dengan itu, nasihat kepada Dr Halimah, jangan berbohong kepada rakyat negeri Selangor. Kalau nak buat Skim Tunas ini, buatlah dengan ikhlas, jangan banyak main politik, jangan cakap tak serupa bikin, jangan tidak bertanggung dan tuduh yang bukan-bukan kepada kerajaan pusat,” tambahnya lagi.

Tuesday, 22 January 2013

Najib tiba di Gaza, PM Malaysia pertama lawat Palestin


GAZA - Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama menjejak kaki di bumi Palestin apabila beliau mengadakan lawatan kemanusiaan ke Gaza hari ini.

Najib tiba di kawasan sempadan Rafah di wilayah Palestin kira-kira 10.40 pagi (waktu tempatan) atau kira-kira (4.40petang waktu Malaysia).

Ketibaan Najib disambut Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh, di kawasan sempadan.

Lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, dan Palestin berkumandang selepas itu.

Najib juga memeriksa kawalan kehormat Pasukan Polis Palestin.

Sebelum itu, Najib menempuh perjalanan sejauh 55km dari lapangan terbang El-Arish di Mesir ke kawasan sempadan Rafah.

Selepas memeriksa kawalan kehormat, Perdana Menteri dan Ismail mengadakan perbincangan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Rafah.

Di Gaza, Najib dijadual melawat sekolah yang dibiayai rakyat Malaysia, Al Madrasah Al Malaziah, sebelum melawat tapak pembinaan pejabat baharu untuk Ismail. Pejabat lama Ismail musnah semasa serangan Israel pada November tahun lepas.

Kemudian, Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadiri majlis jamuan tengah hari yang dihoskan Ismail di Hotel Movenpick sebelum melawat Universiti Al-Aqsa, di mana Najib akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran.

Selepas itu, Najib akan berlepas ke Kaherah dan mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Mesir Mohamed Morsi.

Perdana Menteri, yang sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Mesir, dan isteri, tiba di Kaherah 9 malam tadi, waktu tempatan.

Syabas: Fakta sebenar krisis air di Selangor Buat Khalid Gagap Makin Bisu

BERIKUTAN gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak ekoran kegagalan rumah pam Wangsa Maju yang berlaku pada 29 Disember 2012, Syabas telah dilemparkan dengan berbagai dakwaan dan tuduhan khususnya oleh Kerajaan Negeri Selangor sepanjang berlakunya gangguan bekalan air ini.

DAKWAAN 1

Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerusi kenyataan pada 9 Januari 2013 mendakwa SYABAS tidak menyelenggara sistem Variable Speed Drive (VSD) di rumah pam Wangsa Maju secara berkala (periodically preventive maintenance) kerana mendapati SYABAS tidak mempunyai sebarang kontrak penyelenggaraan berkala dengan pembekal VSD.

Dakwaan ini adalah tidak benar kerana, kerja-kerja penyelenggaraan di rumah pam ini dibuat secara berkala (sebulan sekali) yang dilakukan sendiri kakitangan SYABAS. Dalam hal ini, jika semasa kerja penyelenggaraan berkala dan kakitangan SYABAS mendapati terdapat keperluan mendapatkan khidmat pakar termasuk alat ganti, SYABAS akan melantik pihak pembuat dan pembekal VSD tersebut iaitu ABB Malaysia Sdn. Bhd. berdasarkan keperluan (case to case). Malah jadual penyelenggaraan ini juga dihantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

DAKWAAN 2

YAB Menteri Besar Selangor turut menyebut bahawa insiden pump tripped bukan disebabkan kegagalan VSD kerana ianya merupakan sistem pintar yang menerima maklumat dari luar seperti keadaan motor, pam, getaran, suhu dan lain-lain.

Dakwaan ini juga tidak benar kerana sistem VSD merupakan sebahagian daripada komponen penting di dalam sistem rumah pam ini, justeru insiden pump tripped juga mempunyai kaitan dengan operasi VSD. Sekiranya mana-mana komponen sistem mengalami kerosakan akibat sistem yang beroperasi melepasi kapasiti (overload), VSD tidak boleh dihidupkan.

DAKWAAN 3

YAB Menteri Besar Selangor turut menyatakan alat gantian pada sistem pam berkenaan boleh didapati dari China dengan menggunakan perkhidmatan courier dan bukan hanya dari Finland seperti yang didakwa SYABAS.

Ingin dinyatakan bahawa SYABAS telah dimaklumkan secara lisan oleh pembekal berkenaan bahawa alat ganti didapati dari Finland. Walaupun begitu isunya adalah berapa lama alat ganti dapat diterima setelah dipesan. Dalam kes ini, ada satu di antara alat pengganti mengambil masa 2 ½ bulan untuk diterima.

DAKWAAN 4

YAB Menteri Besar Selangor turut mendakwa SYABAS gagal mengenalpasti kerosakan pam-pam yang terdapat di rumah pam berkenaan termasuk mendakwa siasatan mereka mendapati pam Nombor 2 telah rosak melebihi setahun dan tidak pernah dibaiki.

Punca sebenar kegagalan rumah pam adalah disebabkan ianya beroperasi dalam keadaan overload dalam tempoh yang lama. Kerosakan sebenar yang berlaku pada sistem rumah pam disebabkan kerosakan pada komponen elektrik dan elektronik. SYABAS mempunyai bukti di mana terdapat dokumen yang merekodkan segala aktiviti di rumah pam, termasuklah kerja-kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan.

Salinan dokumen ini telah diserahkan kepada SPAN yang telah menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menjalankan pengauditan terhadap kerja penyelenggaraan rumah pam tersebut. Sementara itu, Pam No. 2 di rumah pam Wangsa Maju sering mengalami kerosakan pada sistem VSD.

Setiap kali berlaku kerosakan, kerja-kerja pembaikan dibuat oleh pihak ABB selaku pembuat/pembekal VSD ini kerana kerja-kerja ini hanya boleh dilakukan oleh jurutera pakar dari syarikat tersebut. Namun begitu, ia tidak dapat bertahan lama apabila kerosakan berulang dan sistem pam tidak berada dalam keadaan stabil kerana beroperasi dalam keadaan overload.

Proses pembaikan yang berulang ini telah kerapkali berlaku dan telah mengambil masa yang lama. Bagaimanapun, dalam tempoh tersebut, rumah pam tersebut masih mengeluarkan air melebihi seperti biasa bagi menampung permintaan pengguna.

DAKWAAN 5

YAB Menteri Besar Selangor mendakwa bahawa sepanjang tahun 2012, hanya 18 hari sahaja pam pam ini beroperasi melebihi 200 juta liter sehari (JLH).

SYABAS menafikan dakwaan ini kerana SYABAS mempunyai rekod dan statistik yang menunjukkan bahawa pam-pam di Wangsa Maju telah beroperasi melepasi 200 JLH sebanyak 2,023 kali sepanjang tahun 2012 dan bukan 18 hari seperti didakwa menteri besar.

DAKWAAN 6

YAB Menteri Besar Selangor juga mendakwa bahawa kerajaan negeri sudah mengetahui masalah kerosakan rumah pam Wangsa Maju dan pernah menegur SYABAS lebih awal, namun tindakan tidak dibuat.

Dakwaan ini juga tidak benar kerana kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang teguran atau yang seumpamanya kepada SYABAS, sama ada bertulis ataupun lisan.

DAKWAAN 7

YAB Menteri Besar Selangor juga mendakwa bahawa permohonan SYABAS membangunkan sistem pengepaman tambahan baru di Wangsa Maju dibuat pada November tahun lepas dan disokong pada awal tahun ini.

Dakwaan ini tidak benar kerana cadangan pembangunan sistem pengepaman tambahan di Wangsa Maju telah dimajukan kepada Kerajaan Persekutuan pada bulan Jun 2009 diikuti dengan cadangan yang sama kepada Pejabat Menteri Besar Selangor pada Januari 2010, namun tiada respon atau maklumbalas diterima sehingga bulan Mac 2012 apabila Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan untuk meluluskan cadangan ini dan memberikan pinjaman kepada kerajaan negeri bagi membiayai projek pembinaan rumah pam tambahan ini yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Dari bulan Mac 2012 sehingga hari ini, pembangunan sistem pam tambahan ini oleh Kerajaan Negeri Selangor masih di tahap reka bentuk.

DAKWAAN 8

YAB Menteri Besar Selangor juga mendakwa SYABAS memberi alasan tidak cukup duit untuk membaiki pam itu kerana tarif air tidak naik tetapi rakyat Selangor tidak mahu kenaikan tarif air. Kerajaan negeri menurutnya, bersedia membaiki kerosakan rumah pam jika SYABAS tiada wang dan keupayaan.

SYABAS tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang menyebut bahawa SYABAS tidak mempunyai wang untuk membaiki pam itu kerana tarif air tidak naik. Ini adalah rekaan menteri besar sendiri. Sekiranya kerajaan negeri selaku pemegang saham 30% dalam SYABAS ingin membantu dengan menyediakan dana untuk penyelenggaraan alat-alat di rumah-rumah pam SYABAS, kami amat mengalu-alukannya.

DAKWAAN 9

Exco Selangor, YB Dr Xavier Jayakumar dalam kenyataannya di Sinar Harian mengatakan bahawa kerajaan negeri mengganggap kelalaian SYABAS merupakan pure negligence dan criminal in nature dan menganggap gangguan bekalan air merupakan tindakan sabotaj dan rekacipta oleh SYABAS bagi memburukkan imej Kerajaan Selangor. Menurutnya, SYABAS tidak mampu membekalkan air kepada rakyat dan berpaksi semata-mata atas keuntungan dengan menaikkan tarif dari semasa ke semasa.

Sementara itu Adun Teratai, YB Janice Lee, mendakwa isu air dimainkan media kawalan Barisan Nasional (BN) bagi memburukkan Kerajaan Selangor sedangkan ianya adalah kegagalan SYABAS. Gangguan bekalan air menurutnya adalah antara sabotaj UMNO-BN terhadap Kerajaan Negeri Selangor.

SYABAS menyangkal semua dakwaan di atas kerana:
= Kerosakan pada pam disebabkan rumah pam Wangsa Maju terpaksa beroperasi melebihi kapasiti rekabentuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memenuhi permintaan bekalan air. Kerosakan ini boleh berlaku dan telah berlaku walaupun ianya disenggara secara berjadual sepanjang masa.

= Isu kekurangan bekalan air terawat telah sekian lama dimaklumkan kepada kerajaan negeri dan diketahui umum serta menjadi tajuk perbincangan dalam beberapa tahun ini. Kerajaan negeri sendiri telah memperakui kesahihan perkara ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemantauan Bekalan Air yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Khushrin Munawi sejak bulan Julai 2012 dan juga cadangan membina loji air dengan teknologi membran dan mengoperasikan semula loji air Bukit Jelutong. Tidak timbul isu gangguan bekalan air ini adalah sabotaj dan rekacipta SYABAS.

= Isu kenaikan tarif yang diperuntukan dalam Perjanjian Konsesi SYABAS (walaupun sehingga kini kenaikan tarif masih ditangguhkan oleh kerajaan negeri) merupakan isu berasingan yang tidak berkaitan dengan kekurangan bekalan air terawat yang perlu ditangani oleh kerajaan negeri dengan menambah kapasiti loji rawatan air. SYABAS hanya pengagih bekalan air yang dibekalkan oleh operator-operator loji rawatan air yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.

= Isu SYABAS sengaja merekacipta krisis ini tidak timbul kerana tidak ada seorang pun yang waras akan tergamak melakukannya, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan kepentingan orang ramai. Ia juga tidak logik kerana SYABAS terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi bagi menguruskan bekalan air alternatif kepada pengguna.

SYABAS juga mempunyai rekod dan statistik yang menyokong kenyataan SYABAS tentang kekurangan bekalan air terawat. SYABAS telah menghantar maklumat tersebut kepada kerajaan negeri menerusi audit yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan juga kepada wakil-wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Pengarah SYABAS.

DAKWAAN 10

YB Xavier juga mengatakan bahawa pembekalan dan agihan air adalah merupakan tanggungjawab SYABAS dan bukan kerajaan negeri seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Konsesi dan kerajaan negeri sedia jadi saksi kepada pengguna memfailkan tuntutan terhadap SYABAS.

SYABAS menyangkal dakwaan ini dan menegaskan bahawa:

= Peranan dan tanggungjawab hakiki SYABAS yang diperuntukkan dalam Perjanjian Konsesi adalah mengagihkan air terawat kepada pengguna dan mengutip caj bekalan air daripada pengguna berdasarkan tarif digazetkan kerajaan.

= Air terawat ini dijual dan dibekalkan oleh operator loji yang telah dilantik sendiri oleh kerjaan negeri untuk merawat air termasuk SPLASH, Konsortium Abass dan Konsortium Air Selangor yang mana kerajaan negeri mempunyai saham di dalamnya. Oleh yang demikian, SYABAS tidak bertanggungjawab dalam menentukan atau meningkatkan kapasiti loji rawatan air.

= Dari aspek penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti dan pembangunan baru sistem infrastruktur agihan air yang dikategorikan sebagai program CAPEX tertakluk kepada kelulusan SPAN yang merujuk kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Seperti telah diketahui umum, kelulusan sebahagian besar dari program CAPEX ini telah dibekukan oleh SPAN atas arahan kerajaan negeri sejak tahun 2008. Ini bermakna kerajaan negeri telah menghalang SYABAS daripada membuat kerja kerja penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti, atau pembangunan projek-projek baru sistem infrastruktur agihan air ini.

= Bagi memastikan operasi berjalan seperti ditetapkan dalam perjanjian konsesi, kenaikan tarif air perlu diselaraskan berdasarkan kepada perjanjian konsesi namun perkara ini telah ditangguhkan oleh kerajaan negeri. SYABAS bagaimanapun kekal mengurus operasi tanpa kompromi terhadap kualiti perkhidmatan dan penyenggaraan infrastruktur sistem agihan air. Kekangan yang dihadapi dari pelarasan tarif hanya menyebabkan SYABAS terpaksa menangguhkan sebahagian pembayaran kos belian air dari operator loji.

= Adalah tidak wajar bagi kerajaan negeri yang memegang 30% ekuiti dan mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah SYABAS memberikan galakan kepada pengguna untuk memfailkan saman terhadap SYABAS sedangkan ketidakupayaan dan kekangan yang dihadapi oleh SYABAS disebabkan oleh halangan kerajaan negeri dari meluluskan projek-projek di bawah program penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti ataupembangunan baru (Program CAPEX) seperti dicadangkan oleh SYABAS.

DAKWAAN 11

YB Xavier juga mendakwa bahawa isu air berlaku disebabkan keangkuhan SYABAS dan SYABAS tidak menghubungi Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mendapatkan bantuan lori tangki dari PBT tetapi SYABAS meminta bantuan dari syarikat bekalan air daripada luar.

= SYABAS ingin menegaskan bahawa dalam mesyuarat harian Jawatankuasa Khas Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri dan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri atau wakilnya, perkara ini telah dibincang dan dibentangkan. Oleh yang demikian, tidak timbul isu di mana SYABAS tidak meminta bantuan atau tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri. Kenyataan tersebut adalah tidak benar.

= Walaupun dalam mesyuarat yang diadakan setiap hari, SYABAS telah maklumkan kepada kerajaan negeri tentang bantuan yang diperlukan bagi meringankan masalah yang ditanggung pengguna, namun bantuan yang diterima tidak seperti yang diharapkan. Kerajaan negeri menerusi pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), memulakan penghantaran bantuan 4 buah lori tangki hanya mulai 5 Januari 2013 iaitu selepas 6 hari kejadian berlaku.

Berikutnya pada 7 Januari 2013, 3 buah lori, 8 Januari 4 buah, 9 Januari 4 buah, 10 Januari 2 buah, 11 Januari 10 buah, 12 Januari 13 buah, 13 Januari 10 buah dan 14 Januari 2 buah lori. Penghantaran lori-lori tangki ini tidak tetap kerana ada hari-hari yang tiada lori dihantar.

Selain daripada itu, bantuan yang dihantar oleh kerajaan negeri juga tidak menyeluruh kerana tidak menyediakan sukarelawan dan petugas petugas untuk membantu mengangkat air ke rumah-rumah pengguna. Sebagai sebuah negeri yang besar seperti Selangor, sepatutnya lebih ramai petugas sukarelawan dan bantuan lori-lori tangki dapat disediakan.

Malahan sebahagian lori-lori yang digunakan juga didapati tidak menepati piawaian kualiti air yang ditetapkan dan tidak sesuai digunakan untuk membekalkan air. Oleh itu, lori-lori tersebut terpaksa dihantar semula untuk proses cucian dan selepas diuji, barulah air tersebut boleh digunakan.

DAKWAAN 12

Ahli Parlimen Ampang, YB Zuraidah Kamaruddin, mendakwa SYABAS tidak mengambilkira perancangan jangka panjang dalam aspek penyenggaraan, sistem naiktaraf, pemantauan berkala, sistem sokongan lebih efektif dan pengurusan berwibawa.

SYABAS menafikan dakwaan ini dan ianya tidak benar kerana program penyenggaraan berkala rumah pam ini adalah sebahagian daripada program penyenggaraan tahunan peralatan infrastruktur sistem agihan air terawat yang dimajukan pada awal tahun setiap tahun kepada SPAN untuk kelulusan seperti termaktub di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS.

Manakala laporan status kerja-kerja penyenggaraan dimajukan sekali dalam tempoh enam bulan kepada SPAN untuk pemantauannya. Bagi kerja kerja menaiktaraf, membaik pulih, mengganti dan pembangunan baru infrastruktur sistem agihan yang melibatkan program perbelanjaan modal (CAPEX), SYABAS telah dihalang daripada melaksanakannya apabila ianya dibekukan oleh SPAN atas arahan kerajaan negeri sejak bulan Julai 2008. SYABAS hanya dibenarkan untuk menjalankan kerja kerja kritikal sahaja serta penyelenggaraan rutin, itupun selepas mendapat kelulusan SPAN.

Dalam keadaan keadaan seperti ini, SYABAS seolah olah 'terikat tangannya' dan tidak banyak yang mampu dilakukan akibat daripada arahan pembekuan ini. Oleh itu, mendakwa SYABAS tidak mengambil kira perancangan jangka panjang adalah tuduhan yang tidak berasas dan tidak adil sama sekali.

DAKWAAN 13

YAB Menteri Besar Selangor turut mendakwa bahawa gangguan bekalan air membuktikan kegagalan projek penswastaan air kepada syarikat yang tidak berkelayakan dan kompeten SYABAS menyangkal dakwaan ini dan bertegas bahawa gangguan bekalan air adalah disebabkan kegagalan rumah pam yang telah beroperasi secara overload dalam tempoh yang panjang disebabkan permintaan yang meningkat berterusan.

Kegagalan rumah pam berfungsi adalah berkait dengan permintaan yang meningkat sehingga menyebabkan rumah pam terpaksa beroperasi melebihi kadar kebiasaannya sementara menunggu bekalan air terawat tambahan yang belum disediakan oleh kerajaan negeri.

Kerajaan negeri atas alasannya sendiri tidak mahu menerima hakikat yang disokong oleh fakta-fakta bahawa Selangor mengalami kekurangan dalam pengeluaran air terawat berbanding permintaan yang meningkat.

DAKWAAN 14

Dalam keadaan yang sama, Adun Teratai, YB Janice Lee mendakwa bahawa isu masalah air menunjukkan ketidakupayaan Puncak Niaga dan SYABAS mengendalikan pengurusan air kerana krisis ini bukanlah yang pertama kali berlaku di Selangor.

SYABAS menyangkal dakwaan ini dan menegaskan bahawa menteri besar dan kerajaan negeri telah dimaklumkan semenjak tahun 2005 lagi bahawa permintaan air terawat di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya meningkat iaitu pada kadar 3.5% setiap tahun dan pengeluaran air dari kapasiti loji-loji yang sedia ada telah tidak mencukupi.

Sememangnya ada di antara 34 loji sedia ada telah beroperasi melepasi kapasiti rekabentuk. Keadaan bertambah buruk apabila rezab bekalan air yang tinggal pada masa ini adalah lebih kurang 1% sahaja. Kerajaan negeri bertanggungjawab menambah kapasiti rawatan air manakala di bawah Perjanjian Konsesi, SYABAS hanya dipertanggungjawabkan ke atas pengagihan air terawat kepada pengguna berdasarkan kuantiti dibekalkan oleh operator loji, syarikat konsesi dilantik kerajaan negeri bagi merawat dan membekal air kepada SYABAS.

Kerosakan pam disebabkan rumah pam Wangsa Maju terpaksa beroperasi melebihi kapasiti rekabentuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air. Kerosakan ini boleh berlaku dan telah berlaku walaupun ianya diselenggara secara berjadual sepanjang masa.

Keengganan kerajaan negeri meluluskan projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan kelewatan membangunkan sistem pam tambahan yang hanya diluluskan pada bulan Mac 2012 menyebabkan SYABAS terpaksa menguruskan rumah pam ini pada tahap overload untuk memenuhi permintaan yang tinggi.

Selain itu, dakwaan terhadap Puncak Niaga adalah tidak adil kerana Puncak Niaga tidak terlibat dalam isu ini, disebaliknya membantu dalam mengoperasikan loji Sungai Langat pada tahap overload sehingga 520 JLH daripada biasa 470 JLH.

DAKWAAN 15

YB Zuraidah seperti disiarkan di Sinar Harian mendakwa bahawa SYABAS gagal menyediakan back-up bekalan air yang mencukupi kepada penduduk dan tidak mempunyai pelan kecemasan untuk mengatasi masalah ini.

Dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana back-up bekalan air wujud dengan adanya kapasiti rezab bekalan air terawat yang mencukupi. Pada masa ini, rezab kapasiti bekalan hanya sekitar 1%, jauh lebih rendah daripada paras selesa industri bekalan air (20%).

Tanggungjawab bagi menyediakan rezab kapasiti bekalan air terawat yang mencukupi adalah kerajaan negeri, bukannya SYABAS. Situasi di kawasan Gombak dan Kuala Lumpur boleh di elakkan jika bekalan air terawat mempunyai rezab kapasiti yang mencukupi.

SYABAS telah menjalankan tanggungjawabnya seperti yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi. Namun dalam keadaan keadaan tertentu, SYABAS tidak dapat mengelak daripada berlaku masalah yang mengakibatkan SYABAS tidak dapat menjalankan obligasinya dengan berkesan jika terdapat pihak lain tidak menjalankan tanggungjawabnya.

Misalnya jika berlaku pencemaran sungai akibat tumpahan minyak dan loji loji rawatan terpaksa berhenti operasinya, SYABAS tidak dapat menyalurkan air kepada pengguna. Sebagai memenuhi tanggungjawabnya SYABAS membekalkan air menerusi lori lori tangki bagi memastikan bekalan air sampai kepada pengguna. Namun demikian bukanlah tanggungjawab SYABAS membersihkan sungai dari tumpahan minyak atau memastikan sungai tidak tercemar. Ianya adalah tanggungjawab kerajaan negeri.

Sangat tidak adil meletakkan kesalahan ini kepada SYABAS kerana krisis air berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menjalankan tanggungjawabnya. Apatah lagi kerana kerajaan negeri memiliki 30% saham di dalam SYABAS tetapi membiarkan SYABAS berhadapan dengan segala kekangan tanpa menghulurkan sebarang bantuan, sebaliknya mencari kesalahan dan kelemahan SYABAS semata mata.

Semasa krisis ini berlaku, Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning telah diaktifkan SYABAS pada 29 Disember 2012 jam 8:00 pagi. Pelan ERP ini yang beroperasi 24 x7 adalah sekretariat bertindak setempat bagi memantau dan mengurus bekalan bantuan air kepada pengguna yang menghadapi gangguan bekalan air.

Bekalan air dihantar kepada pengguna bagi kawasan gangguan kali ini diberikan melalui lori-lori tangki (86 buah) dengan jumlah penghantaran sebanyak 2,891 trips (sehingga 12 tengah hari 12 Januari 2013) dan 287 tangki statik. Bagaimanapun, keupayaan pelan Tindakan Kecemasan adalah terhad kerana mana-mana bekalan air tidak dirancang, direkabentuk dan dibina untuk kegagalan (designed not to fail).

KESIMPULAN

Belum pernah terjadi sebuah kerajaan negeri menghalang kerja-kerja penambahbaikan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat. Kerajaan negeri perlu memikirkan soal kesejahteraan rakyat, kebajikan rakyat dan meluluskan program-program yang dicadangkan SYABAS untuk kebaikan rakyat.

Sikap menyalahkan SYABAS yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa memberikan bantuan yang sewajarnya umpama ‘baling batu sembunyi tangan’. Tindakan kerajaan negeri menghalang program-program menaiktaraf, membaik pulih, mengganti dan menjalankan projek-projek baru sistem agihan bekalan air menerusi pembekuan Perbelanjaan Modal (CAPEX) sangat tidak wajar.

SYABAS berharap kerajaan negeri yang mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah berkaitan menambah kapasiti bekalan air terawat dapat melihat perkara ini dengan lebih serius dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu ini.

SYABAS hanya menguruskan perkhidmatan pengagihan air terawat yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat operator loji rawatan air yang dilantik oleh kerajaan negeri sendiri.

Wednesday, 16 January 2013

ISU AIR : "SENANG JE SALAHKAN SYABAS" KERAJAAN SELANGOR - @ZINMOHAMED

Kerajaan Selangor sepatutnya membantu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyelesaikan isu air yang melanda beberapa kawasan di negeri itu, bukannya mengambil sikap menuding jari, kata Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Beliau berkata sebagai pemegang 30 peratus saham dalam Syabas, kerajaan Selangor sepatutnya bersama-sama syarikat konsesi air itu berusaha memastikan bekalan air dapat disalur terus kepada rakyat tanpa gangguan.

"Kuasa kerajaan negeri mampu menyelesaikan isu ini dengan sistematik sekiranya mereka bertindak rasional demi masa depan rakyat negeri Selangor namun sebaliknya mereka (pemimpin kerajaan Selangor) menggunakan isu air ini untuk memenuhi agenda politik mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd Zin berkata kerajaan BN mencadangkan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dan menubuhkan sebuah jawatan kuasa khas untuk menangani krisis air di Selangor Julai tahun lepas, namun kedua-duanya tidak dipersetujui kerajaan Selangor pimpinan PKR.

"Kami telah berusaha mencadangkan kepada kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim namun mereka bermain 'silap mata' dengan menggunakan alasan remeh temeh kononnya tarif air akan dinaikkan selepas Langat 2," katanya.

Beliau mendakwa kerajaan Selangor tidak serius dalam menangani isu air sedangkan apa yang berlaku pada masa kini jelas menggambarkan risiko yang bakal dihadapi jika tindakan segera tidak diambil dalam memastikan bekalan air cukup di negeri itu.

"Masalah air di Selangor bukan soal politik tetapi ia berkaitan masa depan negara, jika Langat 2 tidak dibina menjelang 2016, satu krisis air akan berlaku dan satu demi satu kilang di Selangor terpaksa ditutup," katanya.

Mohd Zin berkata kerajaan Selangor tidak sepatutnya terus berdegil dan tidak mahu mengaku kesilapan mereka mengenai usaha menyelesaikan masalah isu air di negeri itu.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas mesyuarat exco Selangor di sini, Abdul Khalid terus menyalahkan Syabas yang didakwanya tidak mempunyai program khusus mengurangkan kadar air tidak terawat (NRW) dari 30 hingga 15 peratus.

Beliau turut meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) menyemak status usaha yang dilakukan oleh Syabas ke arah itu.

Monday, 14 January 2013

GEMPAR !!!! @NohOmar Saman Kerajaan Selangor, Adun Sekinchan

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar telah memfailkan saman fitnah terhadap kerajaan negeri Selangor serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Sue Lim kerana didakwa memfitnah beliau.


Noh berkata, kerajaan negeri Selangor melalui akhbar rasminya, SelangorKini dalam keluaran 25 November sehingga 2 Disember 2011 telah menerbitkan dua artikel yang dikatakan memfitnah beliau berbunyi: "Pesawah tuntut Noh Omar letak jawatan" serta artikel yang turut menyiarkan kain rentang "Noh Omar khianat petani dan lesap RM110 juta untuk bantuan petani".


"Satu kita saman kerajaan negeri bersama enam yang lain termasuk sidang pengarang SelangorKini dan satu lagi kepada Adun Sekinchan," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata, saman sebanyak RM10 juta setiap satu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam,Selangor pada 9 Mac lalu melalui peguam beliau, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Noh menegaskan, penerbitan kata-kata fitnah itu boleh menjatuhkan reputasi beliau sebagai Ahli Parlimen Tanjong Karang, menteri dan juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.

Mahkamah menetapkan 22 Mac ini untuk pendengaran pengurusan kes.