Friday 4 October 2013

Gelombang Baru KDN (Biarlah pembangkang takut dengan 'bayang-bayang yang tiada)

KENAPAKAH pakatan pembangkang bagaikan 'cacing kepanasan' apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan 2013)?
Walaupun kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpuluh-puluh kali menjelaskan undang-undang itu bertujuan mencegah jenayah terancang tetapi pemimpin pembangkang seolah-olah 'pekakkan telinga' dan 'butakan mata' untuk menerima penjelasan itu.
Mereka terus mempolitikkan undang-undang tersebut dan ada lidah rasmi mereka menganggap ia lebih keji daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Entah mengapa peruntukan yang paling mereka takuti ialah memberi kuasa kepada Lembaga Pencegahan Jenayah mengeluarkan arahan menahan penjenayah selama dua tahun.
Apabila menyentuh sahaja peruntukan ini pembangkang bagaikan takut kepada bayang-bayang atau diburu mimpi ngeri. Mereka terpekik terlolong membantah peruntukan ini.
Biar pun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tiada niat dan tujuan tersurat atau tersirat untuk menahan mereka yang memegang jawatan politik manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pula menyatakan undang-undang baharu itu hanya melibatkan tindakan terhadap penjenayah, tidak sesekali disasar kepada ahli politik, ia masih belum mencukupi untuk 'mengubati' kebimbangan tidak bertempat pembangkang.
Justeru tidak perlulah lagi, kerajaan khususnya KDN mahupun PDRM hendak melayan kerenah pembangkang itu. Apa yang penting sekarang ialah soal ketenteraman dan keselamatan negara.
Biarlah pembangkang hendak buat protes 40 hari 40 malam, biarlah mereka terpekik terlolong atas pentas-pentas ceramah kerana dalam keadaan mereka tiada modal politik untuk meraih sokongan maka 'tunjuklah sedikit ihsan' kepada mereka untuk terus memprotes.
Hakikatnya, kita tidak perlu peduli apa kata pembangkang kerana selama ini pun mereka tidak pernah memuji sebarang usaha kerajaan, sebaliknya yang sering kita saksikan apa sahaja isu, segalanya mahu dipolitikkan.
Siang malam, pagi petang, subuh hingga senja dalam pemikiran pembangkang seolah-olah tidak ada perkara lain, mereka cuba melihat apa sahaja usaha kerajaan dari sudut negatif.
Mereka membentangkan hujah macam- macam yang kadang kala memualkan termasuklah soal hak asasi manusia. Malah mereka juga bersedia untuk membela penjenayah daripada kaum tertentu kononnya atas dasar tersebut tetapi langsung tidak berkata apa-apa apabila ada anggota polis yang tercedera atau terbunuh ketika menjalankan tugas.
Kalau betul mahu memperjuangkan hak asasi biarlah ia merangkumi semua pihak termasuklah untuk pasukan keselamatan juga. Tetapi ini tidak berlaku kerana seolah-olah bagi mereka, hak asasi hanya terpakai untuk orang yang mereka bela sahaja, apakah ini dinamakan keadilan?

Sebab itulah, kerajaan tidak perlu pening kepala untuk memikirkan apa yang pembangkang lakukan. Apa yang penting sekarang undang-undang tersebut sudah diluluskan oleh Parlimen dan apabila diwartakan maka laksanakan ia dengan sebaik-baiknya.
Sudah cukup selama ini, pasukan polis dilihat tidak bertaring dan kehilangan tenaga apabila ISA dan beberapa peruntukan undang-undang lain dimansuhkan.
Kini sudah ada undang-undang yang seperti mana kata Khalid memberi lebih 'tenaga' kepada polis dalam menangani jenayah khususnya jenayah terancang.

Oleh itu, apa pun pembangkang hendak kata biarlah mereka ibarat 'si luncai yang terjun dengan labu-labunya'. Apa yang perlu diutamakan ialah undang-undang itu akan mampu memberikan perasaan selamat dalam kalangan rakyat dan masa yang sama semakin yakin dengan kesungguhan kerajaan menjamin keselamatan mereka dan meningkatkan keamanan negara.
Kalau pembangkang ikhlas sudah pasti mereka akan menyokong undang-undang ini kerana ia untuk kepentingan rakyat. Pembangkang sering mendabik dada kononnya mereka pejuang rakyat sehinggakan kerjasama mereka pun dinamakan 'pakatan rakyat'. Kononnya, untuk memberi mesej kepada rakyat bahawa merekalah perjuang rakyat yang sejati tetapi apabila kerajaan melaksanakan sesuatu untuk kesejahteraan rakyat, mereka pula menentangnya.
Inilah sikap dan kualiti pembangkang yang ada di negara kita. Jarang sekali mereka menghamburkan pujian kepada sebarang usaha kerajaan, semuanya mahu dikritik, dikecam dan dibidas, seolah-olah kerajaan melaksanakan sesuatu itu bukan untuk kebaikan rakyat.
Namun begitu, kita percaya rakyat sudah bijak menilai, pembangkang boleh berkata dan berhujah apa sahaja tetapi sama ada segala yang mereka lontarkan itu benar atau tidak, bermotif politik atau tidak, maka biarlah rakyat menilainya.
Undang-undang ini bukanlah satu-satunya perkara yang menjadi sasaran serangan pembangkang, sebaliknya selama ini sudah banyak perkara menjadi 'mangsa' serangan mereka.
Bagi pembangkang, seolah-olah hanya mereka sahaja yang boleh melakukan sesuatu dengan baik dan sempurna, mereka sahaja yang pandai mentadbir, mereka sahaja yang bijak merangka atau menggubal undang-undang dan sudah pasti seolah-olah mereka sahaja begitu prihatin dengan hak asasi rakyat.
Tetapi apabila kita kaji sikap sebenar pembangkang maka kita akan mendapati, segala yang diperjuangkan tidak lebih hanya bermotif politik dan kadang kala mereka bagaikan 'takut kepada hantu yang tiada' dan bimbang kepada bayang-bayang yang tidak wujud. Itulah kualiti pembangkang di negara ini!


#TestedTeam4UMNO

No comments:

Post a Comment